Sindiket judi: Remaja antara 10 ditahan

Mohd Yusri
Mohd Yusri
A
A
A

IPOH - Polis menahan 10 warga tempatan termasuk seorang remaja lelaki berusia 15 tahun disyaki terlibat dalam sindiket perisian perjudian dalam talian selepas menyerbu sebuah rumah di kawasan perumahan dekat sini pada Selasa.

Serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu hasil risikan sejak beberapa minggu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, rumah teres dua tingkat itu telah disewa dan dijadikan pusat panggilan bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa.

"Dalam serbuan itu, didapati sindiket berkenaan menawarkan perkhidmatan membangunkan laman sesawang yang mengumpulkan pelbagai jenis permainan judi dalam talian.

"Mereka turut menyediakan perisian judi mengikut permintaan pelanggan dari dalam dan luar negara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, mereka yang ditahan membabitkan sembilan lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 15 hingga 40 tahun.

Katanya, turut dirampas sebuah komputer riba, tiga set komputer, 34 unit telefon bimbit pelbagai jenama, empat unit modem dan sehelai kertas yang mengandungi skrip perbualan.

"Remaja yang ditahan telah diberikan jaminan hari ini manakala sembilan yang lain direman selama dua hari sehingga esok (Khamis).

"Siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!