Peniaga kios Kompleks PKNS lega, arahan pindah ditangguh

Kamaruddin (kanan) bertemu peniaga terlibat bagi membincangkan perkembangan terkini isu pemindahan mereka ke lokasi baharu.
Kamaruddin (kanan) bertemu peniaga terlibat bagi membincangkan perkembangan terkini isu pemindahan mereka ke lokasi baharu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 10 peniaga kios 'push cart' lega selepas permohonan mereka menangguhkan arahan berpindah ke lokasi baharu dibenarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Wakil peguam peniaga tersebut, Kamaruddin Ahmad berkata, permohonan injunksi sementara dibuat bagi menghalang pihak PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) memindahkan peniaga ke lokasi baharu dikenali Tempat Orang Lokal (TOL).

Menurutnya, injunksi tersebut diharap membolehkan peniaga terlibat dapat berniaga dengan tenang.

"Saya sebagai peguam kesemua peniaga bersedia untuk perbicaraan pada 13 Mac depan dengan pihak PREC untuk permohonan kekal di lokasi perniagaan di tempat yang sama hingga tahun 2025," katanya selepas mengadakan perbincangan dengan peniaga di Kompleks PKNS pada Selasa.

Sebelum ini peniaga membantah pemindahan mereka ke TOL yang dianggap lokasinya tidak strategik.

Mereka bimbang mengalami kerugian seperti dihadapi peniaga yang pernah beroperasi di tapak tersebut.

Salah seorang peniaga berkata, dia berharap PREC tidak meneruskan keputusan memindahkan kesemua peniaga ke lokasi baharu sehingga perbicaraan kes tersebut selesai.

"Kami bimbang untuk berpindah ke lokasi yang dianggap bakal menjerumuskan perniagaan hingga tahap gulung tikar.

"Kesemua peniaga berharap untuk terus berniaga di lokasi sekarang, sebab itu permohonan injunksi tetap diusahakan.

"Kami berharap perbicaraan akan menyebelahi pihak kami," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!