Inkues Adib: Pegawai Pengendali mohon Hafizam dipanggil semula

 Ahmad Hafizam
Ahmad Hafizam
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Koroner hari ini diberitahu kehadiran semula Pakar Bedah Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi dalam Inkues Kematian Muhammad Adib Mohd Kassim adalah untuk membentangkan eksperimen rekonstruksi yang dijalankan oleh pasukannya.

Pegawai Pengendali Faten Hadni Khairuddin dalam permohonannya untuk memanggil semula Ahmad Hafizam berhujah, pakar tersebut boleh membantu mahkamah berhubung keadaan mangsa sama ada kesan lebam bawah kulit si mati adalah disebabkan kecederaan atau pendarahan dalaman berikutan ia bukti nyata.

"Ini adalah fakta relevan dan percaya mahkamah ingin tahu dalam mencapai satu keputusan yang adil," katanya.

Menurut Faten, mahkamah tidak harus tertinggal dengan penjelasan ini kerana ia adalah fakta.

"Permohonan ini tiada kepentingan dengan mana-mana pihak dan kami sebagai pegawai pengendali hanya mengendalikan inkues," ujarnya.

Sementara itu, Peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Syazlin Mansor, membantah permohonan itu atas alasan ianya membuang masa pihak-pihak.

"Sekiranya permohonan dibenarkan, saya percaya saksi terbabit akan mengulang keterangan sebelum ini dan ia akan membuang masa semua pihak terutama mahkamah," katanya.

Menurutnya, eksperimen baharu yang ingin dikemukakan Ahmad Hafizam yang merupakan saksi ke-24, harus dilakukannya sebelum memberi keterangan.

Artikel Berkaitan:

“Saksi 24 dan 27 (Ketua Jabatan Forensik HKL, Datuk Dr Mohd Shah Mahmood) mempunyai akses secara langsung dalam pemeriksaan klinikal dan bedah siasat terhadap mangsa.

“Sekiranya ujikaji dijalankan selepas keterangan diberikan, ia jelas adalah untuk mempertikaikan keterangan saksi ke-29 iaitu Perunding Kanan Forensik Patologi, United Kingdom, Professor Dr Shahrom Abd Wahid.

Justeru, Koroner Rofiah Mohamad akan memutuskan permohonan itu esok.

Jumaat lalu, Faten Hadni mengemukakan permohonan itu secara lisan dan mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan permohonan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!