Setiausaha Politik PM selar kenyataan Abdul Hadi

Muhammad Kamil
Muhammad Kamil
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang meramalkan Kerajaan Perpaduan akan tumbang sebagai tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, kenyataan tersebut juga jelas menggambarkan bahawa Ahli Parlimen Marang itu masih belum 'kebah' mengenangkan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

"Tatkala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan Kerajaan Perpaduan hari ini berusaha membangunkan semula negara, Presiden Pas (Abdul Hadi) pula ligat melopor kegiatan menjatuhkan kerajaan.

"Mungkin Presiden Pas perlu memberi fokus kehadiran di Parlimen terlebih dahulu dari terus membuat ramalan merepek yang tidak membawa sebarang manfaat kepada negara.

"Saya juga suka untuk meramalkan sekiranya Pas masih memerintah di negeri Kelantan, air bersih untuk rakyat akan kekal berkeladak," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, kerajaan PN yang diterajui Muhyiddin tersungkur di tengah jalan sebelum ini adalah berpunca daripada kegagalannya menguruskan krisis kesihatan dan ekonomi negara pada ketika itu.

Malah katanya, Parlimen ketika itu juga ditutup kerana takut undi tidak percaya ke atas Muhyiddin dilakukan.

Abdul Hadi ketika membahaskan Belanjawan di Dewan Rakyat pada Selasa mendakwa kerajaan hari ini yang diterajui oleh Anwar akan tumbang tidak lama lagi, bagaimanapun beliau tidak menyebut berdasarkan apa jangkaannya itu dibuat.

Kenyataan Abdul Hadi itu kemudiannya mendapat kecaman pelbagai pihak khususnya penyokong kerajaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!