Rumah terbakar, warga emas ditemui rentung
KINABATANGAN - Seorang lelaki warga emas ditemui rentung dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Pauh di sini pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.15 petang.
Katanya, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 22 kilometer dari BBP Kinabatangan.
"Pasukan bomba terpaksa menggunakan utiliti untuk ke lokasi kerana laluan yang berlumpur dan berlubang serta melalui sebuah jambatan kayu.
"Ketika operasi, pasukan bomba mengalami kesukaran untuk berhubung berikutan tiada liputan Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) dan talian telefon di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Katanya lagi, operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan dengan menggunakan sumber air terbuka iaitu kolam berdekatan.
"Sebaik api berjaya dipadamkan, terdapat seorang mangsa lelaki berusia 84 tahun ditemui rentung di bahagian dapur.
"Difahamkan, ketika kejadian mangsa berseorangan di rumaj manakala isterinya pergi ke kedai untuk membeli barangan," katanya.
Nurul Azlan berkata, mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 3.20 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!