'Pemudahkan proses daftar ahli UMNO'
SHAH ALAM - Proses pendaftaran keahlian UMNO perlu lebih mesra dan mudah bagi membuka ruang yang luas untuk orang muda khususnya golongan wanita menyertai parti tersebut.
Calon Ketua Puteri UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, parti memerlukan ahli yang aktif dalam kelompok 18 hingga 35 tahun bagi menguatkan keberadaan sayap parti itu di peringkat akar umni.
Ini kerana katanya, keberadaan Puteri UMNO di peringkat cawangan jelas kelihatan lompong kerana faktor pendaftaran yang susah dan kurang mesra.
"Kadang-kadang di setiap tempat ada 100 cawangan namun Puteri hendak dapat separuh pun susah. Ramai yang mesej bertanyakan cara untuk mendaftar menjadi ahli.
"Sistem kita susah, perlu tandatangan ketua cawangan dan sebagainya. Percayalah, kalau individu tersebut bukan daripada keluarga UMNO mereka tidak akan tahu," jelasnya ketika Program Berani Semuka bertajuk Siapa Layak Jadi Puteri UMNO anjuran Sinar Harian disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian, pada Rabu.
Program tersebut turut mengupas beberapa persoalan antaranya Puteri UMNO masih mampu mengekalkan
objektifnya dan masih relevan atau hanya sekadar ada, langsung tidak memberi impak kepada UMNO?
Tambah Khaidhirah, kesukaran untuk mendaftar ahli mungkin menjadi faktor utama Puteri UMNO dilihat ada dan tiada.
"Kita perlu dilihat sebagai sebuah parti yang menjuarai isu rakyat dan relevan, bukannya hanya menumpukan hal-hal Puteri sahaja.
"Perjuangan UMNO menjaga kebajikan dan martabat orang Melayu itu kita angkat dan teruskan,"ujarnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!