Fikirkan kaedah lain jika mansuh subsidi orang kaya
KERAJAAN boleh menjimatkan sehingga RM17 bilion jika golongan kaya atau T20 tidak diberikan subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Selasa menjelaskan, penggunaan ketiga-tiga bahan api tersebut dalam kumpulan B40 hanya sekitar 24 peratus, manakala M40 sebanyak 41 peratus dan T20 pula sebanyak 35 peratus pada tahun 2022.
RM17 bilion, satu penjimatan agak besar yang boleh disalurkan bagi tujuan lain termasuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kemampanan pembangunan.
Misalnya, menambah bantuan tunai kepada golongan rentan, bina lebih banyak sekolah, hospital atau rumah mampu milik dan meningkatkan sistem pengangkutan awam supaya lebih baik.
Sektor pertanian juga boleh dimajukan dengan teknologi tinggi, sekali gus dapat mengatasi masalah sekuriti makanan.
Kumpulan yang perlu diberikan perhatian utama pula ialah golongan berpendapatan rendah terutama di kawasan luar bandar, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal.
Tujuan asal subsidi adalah untuk menangani isu pengagihan dalam sektor ekonomi supaya rakyat terima manfaat yang adil daripada hasil kekayaan negara tetapi dapat dilihat sebahagian besar jumlah subsidi turut memberi manfaat kepada T20.
Subsidi petrol yang diberikan kepada semua pemilik kenderaan misalnya, menguntungkan golongan kaya kerana orang miskin atau B40 tidak memiliki kenderaan mewah yang memerlukan penggunaan petrol tinggi.
Jadi, apakah kaedah terbaik yang boleh diambil supaya kerajaan tidak terlihat seolah-olah memusuhi golongan T20 jika mereka tidak diberikan subsidi, sedangkan mereka membayar cukai yang lebih tinggi.
T20 juga pasti mahu menerima portion mereka, mungkin dengan cara lain selain subsidi petrol, misalnya subsidi dari segi pembelian dan pemilikan kereta elektrik (EV).
Definisi T20 juga perlulah jelas kerana ia hanya merujuk kepada golongan berpendapatan tetap yang tinggi.
Ada yang dalam kategori T20 tetapi memiliki kenderaan ‘biasa-biasa’, adakah dia layak mendapat subsidi petrol?
Perlu ada projek perintis untuk menentukan mekanisme terbaik jika pemberian subsidi kepada T20 mahu dimansuhkan atau subsidi sedia ada mahu ditambah baik.
Perhalusi sebaik-baiknya supaya ada situasi menang-menang dan memberi manfaat kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!