Nahas kereta api terburuk Greece
ATHENS - Sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh manakala 85 cedera selepas dua buah kereta api bertembung sebelum tergelincir berhampiran bandar Larissa di Greece pada malam Selasa.
Jurucakap bomba mengesahkan bahawa beberapa gerabak terbalik di luar landasan dalam kejadian sebelum tengah malam dalam nahas membabitkan kereta api yang masing-masing membawa barangan dan seramai 350 penumpang di sepanjang laluan antara Athens dan Thessaloniki.
“Seramai 32 orang ditemui mati manakala 85 cedera dan 53 masih berada di hospital untuk menerima rawatan lanjut,” kata jurucakap polis, Vassilis Vathrakogiannis.
Bagaimanapun, punca sebenar nahas belum dihebahkan kepada umum.
Media Greece menyifatkan nahas tersebut sebagai kemalangan kereta api paling terburuk dalam sejarah negara itu.
Semasa kejadian, kereta api penumpang dalam perjalanan dari ibu kota Athens ke bandar kedua Thessaloniki di utara, manakala kereta api membawa barangan menuju ke arah bertentangan.
Kira-kira 150 anggota bomba dan 40 ambulans dikerah untuk memberikan bantuan selain kren dan kakitangan mekanikal cuba mengalihkan serpihan kereta api yang terbalik ke kanan.
“Saya tidak pernah melihat kejadian ini dalam seumur hidup. Ia sangat tragis. Lima jam kemudian, kami menemui mayat,” kata anggota penyelamat.
Difahamkan, satu gerabak kereta api telah remuk sepenuhnya sehingga menjadikan usaha menyelamat bertambah sukar dan ditambah kebakaran dan asap.
Jurucakap Vathrakogiannis berkata, segelintir penumpang sudah dibawa ke tempat selamat.
“Operasi untuk mengeluarkan mangsa sedang dijalankan dan ia dilakukan dalam keadaan sukar akibat pelanggaran teruk daripada kedua-dua kereta api tersebut,” katanya.
Menurut stesen televisyen ERT, salah sebuah kereta api terbakar selepas nahas tersebut dan beberapa penumpangnya masih terperangkap.
Sementara itu, Datuk Bandar Tempi, Yorgos Manolis memberitahu ERT bahawa ramai pelajar berada dalam kereta api itu untuk pulang ke Thessaloniki selepas cuti panjang persekolahan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!