Cabaran 100 hari Hannah Yeoh

Hannah (lima dari kiri) bergambar bersama barisan peserta selepas merasmikan Karnival Sukan Ekstrem Kebangsaan di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini. - Foto Bernama
Hannah (lima dari kiri) bergambar bersama barisan peserta selepas merasmikan Karnival Sukan Ekstrem Kebangsaan di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEBAIK dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan pada awal Disember tahun lalu, Hannah Yeoh tenang menyusun langkah demi langkah dalam menggalas portfolio baharunya itu.

Hannah yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat muncul menteri wanita kedua yang menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas Datuk Seri Azalina Othman Said.

Kini selepas 100 hari diberi kepercayaan memegang tampuk pimpinan KBS, Ahli Parlimen Segambut itu tanpa berselindung mengakui berdepan dengan beberapa cabaran selaku Menteri Belia dan Sukan.

Menurut Hannah, antara cabaran tersebut ialah kesukaran untuk mendapatkan data dalam usaha kementerian untuk menganjurkan program-program yang dirancang.

Hannah (tengah) beramah mesra bersama atlet paralimpik negara semasa melakukan lawatan kerja ke Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik. - Foto Bernama
Hannah (tengah) beramah mesra bersama atlet paralimpik negara semasa melakukan lawatan kerja ke Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik. - Foto Bernama

Namun, menurut Hannah, beliau bersama-sama pihak kementerian sedia untuk menyahut cabaran itu, selain akan terus bekerja keras bagi memastikan KBS dapat memenuhi keperluan seluruh rakyat Malaysia.

“Cabaran saya (selepas 100 hari menerajui KBS) adalah kami kekurangan data terutamanya sukar untuk kumpul data yang diperlukan bagi penganjuran sesuatu program.

“Sebagai contoh, kalau nak buat program renang untuk golongan B40, saya perlukan data di mana mereka, di mana kejadian lemas dan di mana infrastruktur kolam renang, jadi agak mencabar untuk dapatkan data tersebut,” katanya.

Begitupun, Hannah sudah dianggap ‘lulus’ dalam ujian 100 hari selaku Menteri Belia dan Sukan apabila berjaya membuat beberapa perubahan termasuk memberi jaminan tiada mana-mana persatuan sukan kebangsaan (NSA) yang dianaktirikan.

Malah, sebaik sahaja Belanjawan 2023 diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu, Hannah berkata, KBS akan memastikan pembahagian dana secara telus kepada setiap NSA.

Hannah (tiga, kiri) bersama bekas atlet Malaysia selepas melancarkan Kempen Kutipan Amal 'The Spirit of Olympism 2023' pada Majlis Pelancaran Logo Baharu Persatuan Olimpian Malaysia di I-City Shah Alam. - Foto Bernama

Dalam pada itu, Hannah turut berjanji untuk memperbaiki semua perkhidmatan yang ditawarkan KBS memandangkan tempoh dua tahun ini sangat penting bagi memastikan kecemerlangan sukan negara.

“Bagi kita masa untuk memperbaiki semua khidmat KBS. Bagi tahun 2023 dan 2024, ia tempoh paling penting untuk KBS kerana ada banyak temasya penting.

"Jadi, kita akan bantu pemegang taruh dan bekerja lebih keras,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!