Pasar Payang meriah dengan pengunjung
KUALA TERENGGANU - Pasar Besar Kedai Payang, salah sebuah lokasi tumpuan utama pelancong apabila datang ke Terengganu kini meriah dengan kehadiran pengunjung sempena cuti umum persekolahan.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, pasar yang mempunyai lebih 500 peniaga batik dan sutera, makanan kering seperti keropok, barang kemas, cenderahati dan barang keperluan harian itu sesak.
Pengerusi Persatuan Pasar Payang dan Bazar Warisan, Ahmad Shukri Abdullah berkata, penambahan pengunjung memberi limpahan ekonomi buat peniaga dengan peningkatan pendapatan sehingga tiga kali ganda berbanding hari biasa.
"Ada peniaga meraih jualan sehingga RM5,000 pada cuti kali ini. Alhamdulillah, ini menunjukkan sektor pelancongan Terengganu masih aktif dan kekal mendapat perhatian pengunjung," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.
Menurut Ahmad Shukri, walaupun cuti persekolahan bermula pada pertengahan Februari lalu namun Pasar Besar Kedai Payang dilihat mula dipenuhi pengunjung pada minggu ini.
Beliau berkata, situasi itu mungkin dipengaruhi faktor orang ramai menunggu gaji dan tempoh cuti sekolah yang panjang memudahkan mereka membuat perancangan.
"Dianggarkan lebih 3,000 pengunjung mengunjungi Pasar Payang setiap hari pada cuti kali ini untuk membeli pelbagai barangan, jumlah ini meningkat tiga kali ganda berbanding 1,000 orang pada hari biasa.
"Namun jumlah pengunjung boleh mencecah sehingga 5,000 orang sehari ketika cuti umum biasa seperti sambutan perayaan, ini mungkin kerana tempoh cuti pendek menyebabkan mereka datang bercuti serentak," katanya.
Jelas beliau, antara barangan yang sering mendapat sambutan ramai adalah makanan ringan seperti keropok, kerepek, kekacang, kain batik, sutera, kaftan, barangan cenderahati dan kelengkapan dapur.
Sementara itu, jurujual kedai batik dan sutera, Nadia Hafizah Awang, 34, berkata, pasar tersebut mula dipenuhi pengunjung luar pada minggu ini yang datang untuk mendapatkan pelbagai produk Terengganu.
"Pada awal cuti sekolah orang tidak ramai sangat, mungkin orang tunggu gaji masuk, baru boleh datang bercuti sebab pengunjung adalah orang luar.
"Dalam sehari saya boleh jual lebih lima helai batik dan sutera," katanya yang sudah bekerja selama 16 tahun di pasar tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!