Farid Kamil ambil masa sebulan belajar angkat tangan macam Anwar
KUALA LUMPUR - Pelakon utama filem Anwar, The Untold Story, Farid Kamil mengambil masa selama sebulan untuk mempelajari cara mengangkat tangan seperti yang dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditahan pada 1998.
Farid atau nama sebenar, Farid Kamil Zahari, 42 tahun, yang memegang watak Anwar berkata, persiapan tersebut dilakukan sebaik mungkin sebelum dia berangkat ke Jakarta, Indonesia untuk penggambaran.
Jelas pengarah filem itu, dia juga berpeluang bertemu dengan Perdana Menteri sebanyak tiga kali sebelum Parlimen dibubarkan bagi memahami situasi sebenar yang berlaku terhadap Anwar.
"Sebelum berangkat ke Jakarta, saya hanya berlatih bagaimana kedudukan tangan Anwar dan lebih kurang satu bulan berlatih untuk mengangkat tangan seperti yang kita tengok di dalam poster tersebut.
"Setiap pergerakan yang dilakukan ketika itu adalah persoalan yang bermain di fikiran setiap rakyat Malaysia pada tahun 1998? Kenapa mata bekas Timbalan Perdana Menteri (ketika itu) lebam? Apakah di sebalik kejadian dan benarkah berlaku kejadian seumpamanya?" katanya ketika majlis pelancaran filem tersebut di sebuah hotel di sini, pada Rabu.
Bagi memastikan karakter Anwar dihayati sebaik mungkin, pelakon filem Anak Halal itu berkata, dia meneliti laporan perubatan Perdana Menteri yang didakwa ditumbuk ketika berada di dalam tahanan.
Farid menambah, filem Anwar, The Untold Story juga disifatkan sangat berbeza dengan 66 filem yang dilakonkannya sebelum ini.
Anak kelahiran Kedah itu berkata, pengalaman yang menimpanya lima tahun lalu memudahkannya menjayakan watak Ahli Parlimen Tambun itu.
"Ia seperti pembunuhan karakter yang mana digunakan hanya untuk tujuan politik bagi membunuh keperibadian seseorang dan ia turut terjadi kepada saya lima tahun lepas.
"Apabila saya membaca skrip, sudah tentu ia sangat dekat dengan apa yang berlaku, di samping saya adalah calon yang pernah menolak rasuah satu ketika dulu," ujarnya.
Sementara itu, penerbit eksekutif filem tersebut, Zulkiflee Anwar Haq atau Zunar berkata, usaha untuk menghasilkan karya itu bermula sejak 2011.
Bagaimanapun jelasnya, disebabkan terdapat banyak kekangan ketika itu, penerbitan filem berkenaan tidak dapat dijalankan.
"Saya berharap filem ini mendapat sambutan yang sangat baik kerana apa yang kita terap dalam filem ini ialah pendidikan dan rasuah.
"Rasuah ini masalah yang dihadapi negara sampai sekarang. Dalam filem ini ada adegan pemberian rasuah ditolak kerana walaupun diberi sebagai hadiah, ia tetap dianggap rasuah. Jadi pendidikan adalah yang sangat penting," katanya.
Filem Anwar, The Untold Story yang mengisahkan perjalanan politik Anwar dalam memerangi rasuah dalam negara akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada Mei depan.
Set masa filem itu berdasarkan cabaran yang dihadapi Anwar dalam menangani isu rasuah di negara ini bermula dari 1993 sehingga 1998, iaitu ketika dilantik sebagai Menteri Kewangan sehingga dipecat dan dipenjarakan.
Diolah daripada kisah benar, alur ceritanya adalah mengenai ketegasan Anwar yang konsisten menolak berbagai jenis imbuhan dan wang tunai daripada pihak tertentu.
Selain itu, filem itu turut memaparkan bagaimana Anwar enggan menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan syarikat dimiliki anak pemimpin tertentu yang mengalami kerugian berbilion ringgit.
Filem terbitan produksi Bianglala Entertainment itu menampilkan barisan pelakon hebat termasuk Acha Septriasa sebagai Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Hasnul Rahmat menggalas watak sebagai Tun Dr Mahathir Mohamad.
Selain Malaysia, filem Anwar, The Untold Story akan ditayangkan serentak di beberapa negara termasuk Brunei dan Singapura. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!