Bekas pegawai tentera didenda RM6,000 pikat isteri orang

Bekas pegawai kanan tentera Azmi Ali, 48, didenda RM6,000 oleh Mahkamah atas pertuduhan memikat seorang wanita yang merupakan isteri orang, tujuh tahun lepas.- Foto Bernama.
Bekas pegawai kanan tentera Azmi Ali, 48, didenda RM6,000 oleh Mahkamah atas pertuduhan memikat seorang wanita yang merupakan isteri orang, tujuh tahun lepas.- Foto Bernama.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang bekas pegawai kanan tentera yang didakwa atas pertuduhan memikat isteri orang tujuh tahun lalu didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

Azmi Ali, 48, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Azmi didakwa dengan niat jenayah memikat wanita berusia 44 tahun, yang sudah bersuami (ketika dituduh pada tahun 2020) sehingga melakukan hubungan intim di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan di sini awal tahun 2016.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pengadu telah kahwin dengan wanita itu pada 4 Jun 2005 dan mereka menetap di Seri Kembangan di sini.

Pengadu telah membaca mesej dalam aplikasi WhatsApp antara wanita itu dengan tertuduh yang mengandungi kandungan kemesraan melampau.

Semasa prosiding, peguam Azman Zakaria berkata, ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya dan tiada sabitan lampau.

Berikutan kes ini beliau berkata, Azmi yang telah bertugas selama 28 tahun lalu dinasihati supaya diberhentikan kerja dan hanya mendapat pekerjaan baharu tiga bulan lalu.

"Dia mengaku kesal dan mengambil jalan untuk selesaikan kes ini secepat mungkin," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md Kamal memohon mahkamah mengambil kira masalah yang menimpa pengadu yang juga bekas suami kepada wanita terbabit.

"Kejadian ini menyebabkan pengadu dan wanita itu bercerai malah menjejaskan anak-anak mereka apabila rumah yang diduduki sebelum ini terpaksa dijual.

"Ini kerana pengadu tidak dapat memberi tumpuan pada pekerjaannya sehingga menyebabkan perniagaannya gulung tikar.

"Kes ini juga menyebabkan dia mengalami depresi dan perlu menjalani sesi kaunseling di Terengganu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!