Penggunaan ubat PrEP, kerajaan jimat RM47 juta

Lukanisman
Lukanisman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penggunaan ubat Pre-Exposure prophylaxis (PrEP) sebagai langkah pencegahan transmisi HIV membantu kerajaan menjimatkan kos kesihatan sebanyak RM47 juta pada tahun 2006 hingga 2013.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, dapatan itu adalah daripada kajian Centre of Excellence for Research in AIDS (Ceria).

Bagaimanapun menurutnya, kajian berhubung kesannya kepada kewangan negara akan diteliti semula selepas tempoh pelaksanaannya selesai memandangkan projek perintis itu baru sahaja dilaksanakan.

"Ia termasuk keperluan meneruskan projek rintis ini di tahun-tahun seterusnya.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa mengutamakan pencegahan berlandaskan nilai-nilai murni seperti abstinens, namun mutakhir ini isu penyalahgunaan substans memberikan cabaran besar kepada usaha pencegahan sedia ada.

"Justeru, PrEP adalah kaedah pencegahan tambahan yang ternyata berkesan yang perlu disediakan sebagai suplemen kepada usaha pencegahan sedia ada seperti advokasi abstinens, kondom, pengurangan risiko dan lain-lain," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang bertanyakan mengenai kesan ubat PrEP kepada kewangan negara.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Ahmad Yunus berhubung dakwaan penggunaan ubat itu tidak mendapat pandangan daripada agamawan, Lukanisman Awang menjelaskan, kementerian telah pun mengadakan perbincangan mengenai program perintis itu bersama golongan tersebut.

"Ini termasuk kerjasama antara Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor pada 27 Jun 2022.

"Selain itu, terdapat perbincangan susulan dengan KKM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 20 Disember lalu.

"Sudah pasti kita bukan hanya mengadakan bersama agamawan (Islam), tetapi kita meluaskan pandangan agama lain seperti Hindu, Buddha dan pihak gereja," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!