Masih ada ahli Parlimen ‘langgar’ kawasan larangan merokok
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen kerajaan menegur sikap segelintir ahli Dewan Rakyat yang didapati masih ‘melanggar’ larangan merokok dalam bangunan di kawasan Parlimen.
Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berkata, tindakan ini bukan sahaja memberi contoh yang tidak baik tetapi juga turut menyukarkan usaha kerajaan untuk menguatkuasakan undang-undangan larangan merokok di tempat awam di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.
“Kita tidak perlu pergi jauh (untuk kuatkuasakan undang-undang), kita tumpukan bangunan Parlimen sahaja (kerana) kita lihat masih ramai yang merokok sungguh pun bangunan Parlimen adalah kawasan larangan.
“Saya rasa kita harus menunjukkan satu contoh yang baik kepada semua, kita adalah wakil rakyat, jadi apakah pandangan daripada Timbalan Menteri tentang usaha yang harus dilakukan.
“Kita harap perokok dapat diberikan kefahaman (supaya) jangan menyusahkan orang lain,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.
Poay Tiong sebelum itu bangkit mencelah ketika Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan perancangan untuk memperkasakan talian aduan merokok ekoran rungutan rakyat bahawa aduan melalui talian tersebut tidak mendapat tindakan susulan yang sewajarnya.
Membalas kepada perkara yang dibangkitkan Poay Tiong, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni mengakui bersetuju dengan teguran tersebut.
“Saya setuju dengan pandangan Kota Melaka (Poay Tiong) berkenaan larangan merokok di ruang Parlimen dan juga untuk menjadi contoh yang baik, kita harus menjadi wakil rakyat yang menunjukkan contoh sikap yang terpuji.
“Saya nasihat rakan rakan ahli Parlimen yang masih merokok, kalau boleh kita buang tabiat merokok tetapi sekiranya ingin diteruskan pergilah ke ruangan yang bersesuaian dan jangan merokok dalam bangunan Parlimen,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!