Gerakan Anti Sanusi (GAS) serah memorandum berkaitan REE

Ahmad Kamaruddin (tiga kiri) menyerahkan memorandum berkaitan unsur nadir bumi ataupun Rare Earth Element (REE) kepada Ku Abdul Muhyi (dua, kanan) di hadapan Wisma Darul Aman, di sini, pada Khamis.
Ahmad Kamaruddin (tiga kiri) menyerahkan memorandum berkaitan unsur nadir bumi ataupun Rare Earth Element (REE) kepada Ku Abdul Muhyi (dua, kanan) di hadapan Wisma Darul Aman, di sini, pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Sekumpulan pengguna Tik Tok yang menggelarkan diri sebagai Gerakan Anti Sanusi (GAS) menyerahkan memorandum berkaitan unsur nadir bumi ataupun Rare Earth Element (REE) kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Khamis.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Muhammad Sanusi menerusi Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Ku Abdul Muhyi Ku Abd Hamid di hadapan Wisma Darul Aman, di sini, kira-kira jam 9.45 pagi.

Wakil GAS, Ahmad Kamaruddin,47, berkata, pihaknya menyerahkan memorandum berkenaan demi menyampaikan suara rakyat terutamanya pengguna aplikasi tersebut berkaitan mineral itu.

"Kami mewakili rakyat Kedah memohon kebijaksanaan dan ketegasan Menteri Besar Kedah untuk segera membentuk satu jawatan penyiasatan yang efisien bagi merungkai berapa nilai sebenar dan dalang terlibat dalam aktiviti kecurian REE itu.

"Kami juga menegaskan bahawa kerajaan Kedah perlu memberikan satu keputusan segera berkaitan status sebenar berkaitan dengan isu REE ini, "katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan wisma pada Rabu.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Pemacu Pelancongan Sik (Pedas), Abdul Rahim Husain.

Ahmad berkata, perkara ini penting kerana ia melibatkan tentang hasil bumi Kedah yang seharusnya diberikan perhatian serius kerana ia adalah harta warisan bumi yang mungkin boleh menyumbang kepada pendapatan baharu Kedah, sekaligus dapat memakmurkan ekonomi negeri ini.

"Jadi, kami mengharapkan tindak balas segera dari pihak Menteri Besar Kedah selaku ketua kerajaan negeri agar dapat menggunakan seluruh kebijaksanaan beliau untuk segera mengambil tindakan perlu demi memastikan harta kekayaan bumi Kedah terus terpelihara,"katanya.

Dalam perkembangan sama, menurut Ahmad, pihaknya berharap Menteri Besar Kedah dapat memberi respon baik terhadap beberapa persoalan berkaitan REE yang dibangkitkan GAS.

"Antara persoalan kami, syarikat manakah kebenaran eksplorasi REE di Hutan Simpan Kekal di Bukit Enggang, Sik sama ada Prospek Suria Sdn Bhd ataupun Prospek Suria (Kedah) Sdn Bhd.

"Selain itu, kami juga tertanya-tanya pihak mana yang membayar kompaun sebanyak RM130,000 dikeluarkan Pejabat Perhutanan Negeri Kedah dan RM 500,000 dikeluarkan Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Kedah terhadap individu terlibat.

Menurutnya, mereka ingin mengetahui nama syarikat yang memenangi bidaan untuk lelongan REE dan nilai bidaan tertinggi yang diperolehi.

"Kita juga ingin tahu tentang tempoh diberikan kepada syarikat dipilih melakukan eksplorasi serta hasil dan keputusan Kedah peroleh dari eksplorasi itu,"katanya.

Ahmad berkata, pihak Menteri Besar juga diminta menjelaskan sama ada individu ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) merupakan pekerja syarikat mendapat kelulusan melakukan eksplorasi ataupun tidak.

"Antara lain, pihak kami juga memiliki persoalan sekiranya kerja penerokaan masih diteruskan, nilai sebenar kerugian akibat kecurian REE," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!