Kerajaan teliti cadangan letak SPRM di bawah Parlimen

Azalina
Azalina
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan meneliti cadangan untuk meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah bidang kuasa Parlimen bukan lagi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tindakan sewajarnya akan diambil sebaik sahaja penelitian mengenai syor berkenaan selesai.

“Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan amat terbuka akan pandangan dan saranan yang disuarakan daripada pelbagai pihak termasuk Ahli Yang Berhormat bagi meningkatkan keberkesanan SPRM.

“Perkara ini akan diteliti oleh pihak berkaitan bagi tindakan yang sewajarnya,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) yang meminta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan berhasrat untuk membawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke bawah bidang kuasa Parlimen dan bukan lagi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Beberapa pihak sebelum ini mencadangkan supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen bagi memastikan proses semak dan imbang agensi itu lebih bebas dan telus.

Ia susulan wujud pelbagai dakwaan termasuk berlaku pendakwaan terpilih ke atas pemimpin parti politik tertentu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!