Pelan strategik 2023-2027 perkasa institusi JAIP: Wan Rosdy
KUANTAN - Pelan Strategik Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) 2023-2027 yang dilancarkan pada Khamis mampu memperkasa semua institusi di bawah jabatan itu dengan lebih sistematik dan menyeluruh.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini kerana pelan strategik adalah komponen terpenting dalam usaha merangka dan merancang dasar, menentukan program dan tindakan bagi mencapai matlamat agensi dan seterusnya menyumbang kepada pencapaian agenda perkhidmatan awam dan negara.
Menurutnya, dengan adanya pelan strategik yang komprehensif ini, semua institusi di bawah JAIP termasuk Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), Masjid Negeri, Masjid Daerah dan Sekolah Agama Kerajaan Pahang dapat diperkasakan.
"Jadi, segala urusan yang berkait dengan urusan Syariah seperti permohonan perkahwinan, penceraian dan permohonan persijilan hal dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa
"OLeh itu, syabas kepada JAIP kerana berjaya menyiapkan Pelan Strategik Jabatan Agama Islam Pahang 2023-2027," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik JAIP 2023-2027 dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Pahang Kali Ke-21 tahun 2021/2022 di sini pada Khamis.
Wan Rosdy berharap agar JAIP mampu menjadi pusat rujukan bukan sahaja di peringkat negeri dan negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Dalam perkembangan sama, Wan Rosdy berkata, Kerajaan Pahang meluluskan pelantikan 100 perjawatan guru secara kontrak bagi memenuhi keperluan perjawatan guru di sekolah agama di negeri ini pada tahun lalu.
Katanya, pelantikan perjawatan itu melibatkan peruntukan lebih RM3.5 juta setahun.
"Ia salah satu usaha untuk mengukuhkan institusi Sekolah Menengah Agama dilakukan Kerajaan Pahang dengan membekalkan sejumlah keupayaan tenaga manusia bagi meneruskan penyebaran Islam dan memantapkan Pengurusan Hal Ehwal Islam dalam masyarakat.
"Kita bertekad untuk memajukan Sekolah-sekolah Menengah Agama di bawah Kerajaan Negeri kelolaan Jabatan Agama Islam Pahang dari semasa ke semasa supaya setanding dengan sekolah-sekolah harian biasa.
"Bagi mencapai hasrat itu, pelbagai aspek akan dilaksanakan antaranya kemudahan fizikal, kurikulum, keperluan perjawatan termasuk lantikan guru-guru di sekolah agama," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!