Gadis diserang sawan, sesak nafas di PPS

Suzilawani menunjukkan foto anaknya, Siti Nurul Idayu.
Suzilawani menunjukkan foto anaknya, Siti Nurul Idayu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang gadis diserang sawan ketika berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara di sini pada Selasa.

Siti Nurul Idayu Shahrul Amri, 18, diserang sawan ketika dipindahkan ke PPS berkenaan bersama ibu dan tiga adik lelakinya berikutan rumahnya di Kampung Pasir di sini dinaiki air.

Bagaimanapun, sehari selepas mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan dibenarkan pulang semula ke PPS itu, Siti Nurul Idayu mengalami sesak nafas pada malam Rabu.

Ibunya, Suzilawani Suhaimi, 37, berkata, ini merupakan kali pertama anaknya itu mengalami sesak nafas.

“Kalau ikutkan ini kali pertama dia kena sesak nafas, sebelum ini tak pernah dan dia pun tak ada masalah kesihatan lain.

“Kelmarin (Selasa) dia juga kena sawan, Saya pun tak tahu sebab kali terakhir diserang sawan dua tahun lepas," katanya

Suzilawani yang juga seorang pemegang kad orang kurang upaya (OKU) berharap agar anak sulungnya itu segera sembuh.

“Harapan saya semoga anak cepat baik dan balik ke sini (PPS) seterusnya pulang ke rumah macam biasa,” katanya.

Selasa lalu, petugas di PPS itu panik seketika apabila Siti Nurul Idayu diserang sawan.

Bagaimanapun, Siti Nurul Idayu telah dibenarkan pulang ke PPS berkenaan pada pagi Rabu sebelum dikejarkan semula ke HSI pada malam Rabu kerana mengalami sesak nafas.

Mengulas mengenai keadaan Siti Nurul Idayu ketika ini, Suzilawani berkata, dia dimaklumkan bahawa anaknya itu dimasukkan ke wad untuk menerima rawatan lanjut.

Untuk rekod, SK Bukit Mutiara merupakan PPS yang menempatkan paling ramai mangsa banjir bagi daerah Johor Bahru setakat ini dengan merekodkan seramai 513 mangsa daripada 130 keluarga setakat 12 tengah hari Khamis.

Kesemua mangsa berkenaan melibatkan penduduk dari tiga kampung berdekatan seperti Kampung Pasir, Kampung Kangkar Tebrau dan Kampung Paya Kenangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!