Stesen minyak tidak bersubsidi, untungkan negara - Salahuddin

Salahuddin (dua, kiri) semasa merasmikan Majlis Pelancaran Menu Rahmah Peringkat Kelantan di Restoran Al Khalish, Pasir Tumboh, Kota Bharu pada Khamis.
Salahuddin (dua, kiri) semasa merasmikan Majlis Pelancaran Menu Rahmah Peringkat Kelantan di Restoran Al Khalish, Pasir Tumboh, Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjelaskan stesen minyak tidak bersubsidi yang akan dibuka di sempadan tidak akan merugikan malah menguntungkan negara.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sebagai contoh harga petrol negara ini setelah diapungkan dijual pada harga RM3.30 seliter dan lebih murah berbanding Thailand harganya RM5.30.

"Jadi bezanya RM2, tiada ruginya kenderaan dari negara jiran itu masuk ke Malaysia dan membeli petrol tanpa subsidi ini kerana ia boleh mencipta perniagaan.

"Sekarang ini sudah ada dua stesen minyak sedemikian beroperasi di Padang Besar, Perlis, berhampiran sempadan Malaysia-Thailand," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Sebelum itu, beliau merasmikan Majlis Pelancaran Menu Rahmah Peringkat Kelantan di Restoran Al Khalish, Pasir Tumboh di sini.

Menurut beliau, sekarang ini pihaknya sedang membuat perbincangan, kemungkinan ia akan dibuka di sempadan Rantau Panjang, Pasir Mas dan sebagainya.

Ujarnya, di Kelantan dua permohonan telah diterima dan jika cukup syarat ia akan diluluskan.

Salahuddin memberitahu, mungkin mereka (pemilik stesen minyak tidak bersubsidi) akan menggunakan nama lain sepertimana di Padang Besar.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, KPDN sudah berjumpa dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan sudah ada cadangan supaya stesen minyak itu turut diwujudkan di sempadan Malaysia-Indonesia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!