Tiga lelaki didenda RM39,000, jual android box 'haram'

Ketiga-tiga tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di Melaka, pada Khamis.
Ketiga-tiga tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di Melaka, pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Gara-gara menjual android box tidak diperakui di sebuah pasar raya, tiga lelaki didenda dengan jumlah keseluruhan RM39,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap Lee Hock Chuan, 21, Ong Tuck Keong, 30, dan How Jun Tian, 20, yang mengaku salah masing-masing atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

Berdasarkan pertuduhan, Hock Chuan dan Jun Tian masing-masing didapati bersalah menjual tiga unit serta satu unit Top Box (android box) bagi maksud memintas langkah perlindungan teknologi yang disebut dalam subseksyen 36A(3) Akta Hak Cipta 1987.

Berikutan itu tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM4,000 dan tidak lebih RM40,000 bagi setiap perekaan yang berkenaan dengannya kesalahan telah dilakukan atau dipenjarakan maksimum 10 tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 41(1)(ha) akta sama, jika sabit kesalahan.

Manakala Hock Chuan dan Jun Tian juga didapati telah menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui sebagaimana dikehendaki oleh Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu 20 dan lapan unit android box.

Pendakwaan dijalankan mengikut 16(1) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 16(3) Peraturan-peraturan yang sama

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 30 tahun atau kedua-duanya sekali.

Tuck Keong pula didakwa bersubahat dengan Hock Chuan dan Tuck Keong bagi kesalahan di bawah Seksyen 41(1)(ha) Akta Hak Cipta 1987 dan Peraturan 16(3) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira jam 1.10 petang di sebuah pasar raya di Peringgit di sini, pada 25 Oktober 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin, manakala tertuduh diwakili peguam Vincent Tey dan Milavieri Virginia Chong Yee Nee.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda keseluruhan sebanyak RM13,500 terhadap Hock Chuan, manakala Jun Tian RM5,500 dan Tuck Keong RM20,000.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!