Bojan akui KL City perlu masa
PENGENDALI KL City, Bojan Hodak mengakui The City Boys masih dalam proses penambahbaikan selepas tewas 0-3 kepada penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras pada Rabu.
Malah tanpa berselindung pengendali kelahiran Croatia itu menegaskan senario yang berlaku musim ini juga sama seperti saingan musim lalu apabila KL City diundi pada pusingan pertama berdepan pasukan yang lebih kuat.
“Kami diundi berdepan beberapa pasukan yang lebih kuat pada awal musim 2023, tiada perbezaan senario pun kerana situasi sama seperti permulaan musim 2022.
“Namun seperti musim lalu, musim ini kami juga akan mengambil satu perlawanan ke satu perlawanan bagi meningkat prestasi pasukan yang mengambil masa.
“Pasukan ini memerlukan masa untuk membentuk keserasian, namun saya optimis KL City akan mengutip mata tidak hanya di gelanggang sendiri tetapi juga laman lawan,” katanya selepas perlawanan pada Khamis.
KL City menyingkap saingan Liga Super dengan dua keputusan kurang memberangsangkan di Cheras apabila sekadar melakar keputusan seri 2-2 berdepan Penang FC sebelum tewas 0-3 kepada JDT.
Pada masa sama Bojan mengakui berpuas hati komitmen yang diberikan para pemainnya dalam perlawanan tersebut.
Namun katanya, kesilapan individu menyaksikan The City Boys terpaksa berputih mata kepada juara sembilan kali berturut-turut itu.
“Pada perlawanan hari ini para pemain KL City bermula baik sepanjang 45 minit, namun kesilapan individu menghukum pasukan.
“Para pemain menterjemahkan setiap perancangan taktikal yang diarahkan sepanjang separuh masa pertama, malah pasukan kembali agresif pada separuh masa kedua bagi menyaingi JDT.
“Buat masa ini kami akan memberi tumpuan ke arah penambahbaikan sebagai persediaan berdepan Terengganu FC,” katanya.
Sementara itu, pengendali JDT, Esteban Scolari memuji karakter para pemain khasnya benteng pertahanan Harimau Selatan apabila membawa pulang tiga mata setelah menjinakkan KL City.
Bagaimanapun Scolari turut mengingatkan para pemain JDT supaya tidak terlena dengan kemenangan kedua liga itu sebaliknya terus mengekalkan tahap intensiti permainan pada tahap tinggi.
“Perlawanan yang bagus menentang KL City dibarisi para pemain berkualiti semestinya ia merupakan satu cabaran besar kepada pemain JDT.
“Setiap pasukan Liga Malaysia pastinya mahu mengalahkan JDT, dan kami menganggap setiap perlawanan ibarat final yang merupakan satu motivasi kepada, pasukan untuk mengekalkan momentum kecemerlangan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!