Sabah enggan dabik dada
PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee selesa merendah diri ketika mendapat pujian jurulatih Kelantan United FC, Tomas Trucha yang menganggap The Rhinos setanding juara sembilan kali Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT).
Sabah FC mencatat keputusan bersih daripada dua aksi Liga Super, selain bisa jentera serangan yang sudah meledak tujuh gol untuk memimpin carta dengan enam mata.
JDT dan Kedah Darul Aman (KDA) FC juga cemerlang dengan enam mata penuh berkongsi lima jaringan cuma dibezakan dengan bolos untuk menghuni tangga kedua dan ketiga liga.
“Masih terlalu awal untuk kita menilai pemain, namun ia keputusan positif, dua perlawanan dapat enam mata. Semua pemain melakukan tugas yang baik dan penting untuk mereka kekal konsisten.
“Saya tidak ingin melihat pemain hanya bersinar dua tiga perlawanan tetapi selepas itu mereka tidak boleh bermain dengan baik,” katanya pada sidang media selepas aksi kedua Sabah FC menentang Kelantan United FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada malam Rabu.
Pasukan tuan rumah menewaskan Kelantan United 3-1 hasil jaringan Darren Lok, Park Taesu dan Telmo Castanheira, manakala Indra Putra menyumbat gol sagu hati untuk pasukan pelawat.
Prestasi cemerlang skuad The Rhinos menerima pujian Trucha yang melihat Sabah FC berada pada tahap setanding JDT.
“Bagi saya hanya Sabah FC mampu bersaing dengan JDT. Sudah tentu pertemuan JDT dengan Sabah FC nanti sesuatu yang menarik.
“Berbanding Selangor FC, KDA FC, Terengganu FC dan Sri Pahang FC, saya fikir Sabah FC berada pada tahap teratas (top level),” ujar Trucha.
Di sebalik kemenangan itu, Kim Swee masih belum berpuas hati dengan kelekaan para pemain yang menyebabkan gawang pasukan
dibolosi pada masa tambahan setelah mengekalkan tiga jaringan tanpa balas sepanjang 90 minit.
Tambahnya, biarpun sasaran mengutip tiga mata tercapai, corak permainan perlu diperbaiki agar kelemahan yang disebabkan kelekaan pemain terutama selepas mendahului perlawanan tidak berulang.
“Apa yang penting kita dapat lagi tiga mata tetapi selepas mendahului sudah tentu saya tidak puas hati dengan corak permainan apabila kita dibolosi pada minit-minit akhir.
“Saya percaya ini satu kelekaan daripada pemain di mana kita harus tahu walaupun mendahului kita harus pastikan tidak dibolosi.
“Tiga mata penuh penting untuk ke perlawanan seterusnya tetapi kita harus memperbaiki lagi permainan pasukan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan anak-anak buahnya untuk memantapkan lagi corak permainan terutama apabila bertandang ke tempat lawan yang disifatkannya berbeza berbanding aksi di hadapan penyokong sendiri.
Sabah FC akan berdepan Kuching City FC di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada 6 Mac ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!