Buli motif warga Nepal dikerat tujuh oleh rakan sekerja

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Hussein.
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Hussein.
A
A
A

SHAH ALAM - Dendam dan sering dibuli menjadi motif utama pembunuhan kejam seorang pengawal keselamatan warga Nepal yang dipotong tujuh bahagian dan disumbat dalam bagasi sebelum mayatnya ditemui di tepi Lebuh Raya Utara-Selatan, 17 Januari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa berusia 48 tahun itu dibunuh dan dikerat di stor sebuah apartmen di Sungai Buloh.

Katanya, mangsa dibunuh oleh rakan sekerjanya yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan di apartmen terbabit.

"Suspek kemudiannya membawa bagasi berisi keratan anggota badan mangsa menggunakan motosikal sebelum membuangnya di tepi lebuh raya terbabit," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Khamis.

Hussein menunjukkan gambar lokasi kejadian bunuh dan mangsa yang disumbat di dalam bagasi sebelum mayatnya ditemui pada 17 Januari lalu.
Hussein menunjukkan gambar lokasi kejadian bunuh dan mangsa yang disumbat di dalam bagasi sebelum mayatnya ditemui pada 17 Januari lalu.

Tambahnya, susulan itu, seramai 15 individu yang masing-masing adalah 12 warga Nepal, Indonesia (2) dan seorang Filipina berusia lingkungan 24 hingga 44 tahun telah ditangkap.

Ujarnya, soal siasat mendapati enam warga Nepal termasuk seorang yang masih bebas didapati terlibat dalam kes tersebut.

"Kes adalah bermotifkan dendam kerana mangsa dikatakan sering membuli suspek," katanya.

Jelas beliau, kertas siasatan telah dihantar kepada pihak pendakwaan dan polis mendapat arahan tuduh dalam masa terdekat terhadap tiga lelaki termasuk yang masih bebas berusia 24 hingga 30 tahun," ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

17 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan penemuan mayat seorang lelaki dipotong tujuh bahagian dengan anggota badannya disumbatkan ke dalam bagasi sebelum ditemui di tepi Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur Rawang Selatan arah utara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!