Syarikat pengendali pakej umrah didenda RM80,300
ALOR SETAR - Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman denda RM80,300 kepada sebuah syarikat pengendali pakej umrah kerana gagal mematuhi 26 'award' (pampasan) dikeluarkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dalam tempoh 14 hari, tiga tahun lalu.
Majistret, Muhammad Zul Hilmi Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Massnizam Group Travel and Tours Sdn Bhd setelah pengarahnya, Mohd Nizam Noh, 50, mengaku bersalah terhadap semua 26 pertuduhan dihadapi dalam prosiding yang berlangsung selama dua hari.
Dalam prosiding yang berlangsung pada Rabu, syarikat itu didenda sebanyak RM3,000 untuk setiap satu bagi kesemua 13 pertuduhan yang dihadapkan terhadapnya.
Pada Khamis, syarikat tersebut didenda RM3,000 bagi setiap satu daripada 10 pertuduhan dihadapi serta RM3,300, RM3,500 dan RM4,500 bagi tiga lagi pertuduhan.
Sekiranya gagal membayar denda ditetapkan itu, mahkamah turut memerintahkan waran melevi dikeluarkan terhadap syarikat berkenaan.
Mohd Nizam ketika ini difahamkan sedang menjalani hukuman penjara selama 14 tahun di Penjara Kluang atas kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Mengikut kertas pertuduhan, kesemua 'award' dikeluarkan TTPM yang gagal dipatuhi itu bertarikh 3 Mac 2020.
Menerusi 'award' dikeluarkan TTPM itu, syarikat tersebut diarahkan untuk membayar balik wang berjumlah RM395,737 kepada 26 individu dalam tempoh 14 hari sejak 3 Mac 2020 namun hingga kini bayaran tersebut langsung tidak disempurnakan.
Pendakwaan dikendalikan tiga pegawai pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) iaitu Muhammad Nizam Amer, Saiful Saidin dan Mohd Hilmi Abu Hassan mengikut 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 manakala syarikat tersebut tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!