Bendahari Bersatu ditahan SPRM

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Salleh Bajuri untuk membantu siasatan berhubung perbelanjaan dana parti berkenaan.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

"Beliau (Mohd Salleh) ditahan kelmarin (Selasa)," katanya ringkas ketika dihubungi pada Khamis.

Bagaimanapun sumber memaklumkan, pemimpin Bersatu itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Tambah sumber, Mohd Salleh kemudian ditahan reman selama dua hari untuk membantu siasatan kes.

1 Februari lalu, SPRM mengesahkan telah membekukan beberapa akaun milik Bersatu untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor juga sudah dipanggil SPRM pada 16 Februari bagi memberi keterangan berkaitan isu membabitkan wang RM300 juta disyaki diterima parti Bersatu.

21 Februari lalu, bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas dua pertuduhan kes rasuah bagi projek ‘Central Spine Road’ bernilai RM232 juta, tahun lalu.

Selain itu, pada Selasa, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad dituduh buat kali ketiga di Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa atas tuduhan meminta rasuah RM2 juta, tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!