Rinani Group Berhad pemilik KL City FC
FIRMA perunding kewangan, Rinani Group Berhad mengumumkan telah menandatangani perjanjian penjualan saham dengan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) untuk memperoleh pegangan majoriti dalam Kuala Lumpur City FC Sdn Bhd (KLFC), pemilik Kuala Lumpur City (KL City) FC.
Pengarah Rinani, Azri Azerai berkata, melalui perjanjian penjualan saham itu secara rasmi menjadikan Rinani sebagai pemilik majoriti KLFC.
“Kami berjanji membawa prestasi KL City FC di padang ke tahap lebih tinggi dengan menumpukan perhatian kepada kejurulatihan, pengambilan pemain dan pembangunan remaja dan kami menjanjikan peminat kami penglibatan dan pengalaman yang lebih baik untuk nilai wang mereka.
“Selain permainan, kami juga akan memberi tumpuan untuk meningkatkan aliran pendapatan untuk KLFC agar ia dapat mampan dan terus mengekalkan kelab itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada masa sama Azri juga berterima kasih kepada KLFA yang memacu kelab tersebut selama ini.
“Kami akan membinanya untuk membawa KL City FC ke peringkat seterusnya dan akan berusaha ke arah mengadakan lebih banyak kerjasama korporat dan penajaan untuk kelab itu mampan dari segi kewangan serta memastikan tahap latihan yang boleh membawa kelab ke peringkat antarabangsa.
“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas sokongan beliau terhadap usaha kami dan untuk menggalakkan pertumbuhan bola sepak Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Presiden KLFA Khalid Abdul Samad berkata, ini merupakan detik bersejarah bagi KLCFC dengan pemilikan majoriti KLFC beralih kepada Rinani.
“Penswastaan kelab adalah demi kepentingan semua pihak yang terlibat dalam sukan bola sepak profesional, termasuk pemain, penyokong, penaja dan vendor yang berkait rapat dengan kelab selama ini.
“Kami mendoakan agar tindakan ini akan mendatangkan kejayaan kepada bukan sahaja KL City FC dan Rinani Group tetapi juga KLFA itu sendiri," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin berkata, “Penswastaan pasukan bola sepak yang dikendalikan kerajaan adalah penting untuk perkembangan selanjutnya permainan kerana ini akan memastikan kelab mempunyai akses kepada kepakaran dan pengetahuan yang boleh disediakan oleh sektor swasta.
“Ia juga penting bagi sektor swasta mengendalikan kelab bola sepak secara profesional dengan tadbir urus yang baik kerana ini akan membantu dalam memastikan daya maju kewangan untuk pembangunan belia dan pengambilan pemain.”
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, “Penswastaan berterusan kelab bola sepak di negara ini akan memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan, terutamanya pemain kerana kebajikan mereka akan dijaga dengan lebih baik.
“Akan ada lebih ketelusan dalam cara kelab dikendalikan dan kewangan diurus. Pengurusan profesional kelab adalah penting kerana ini bermakna keperluan untuk melibatkan diri dengan penyokong, meningkatkan prestasi dan menawarkan produk yang lebih baik.”
Untuk rekod pemerolehan kepentingan majoriti oleh Rinani dalam KLFC juga adalah selaras dengan arahan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), supaya pasukan bola sepak kendalian kerajaan dikendalikan secara profesional, dibiayai secara persendirian dan dimiliki secara bebas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!