Pemilihan UMNO: Penyertaan ramai calon bukti UMNO masih kuat
KUALA LUMPUR - Penyertaan ramai calon yang bertanding pelbagai jawatan dalam pemilihan UMNO kali ini jelas membuktikan parti ini masih mendapat sokongan kuat ahli akar umbi.
Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, dakwaan bahawa parti terbesar orang Melayu semakin lemah juga jelas tidak benar.
"Walaupun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu UMNO hanya memenangi 26 kerusi tetapi kita menjadi sebahagian daripada kerajaan (Perpaduan) dan memainkan peranan penting dalam kerajaan.
"Jadi, saya lihat pemilihan kali ini jawatan penting pun ramai yang bertanding (sebagai contoh) jawatan ketua bahagian di Sabah ada sampai enam penjuru.
"Maksudnya di sini UMNO walaupun dikatakan sudah lemah (tetapi masih mendapat sokongan kuat akar umbi)," katanya ketika ditemui di Menara Dato' Onn di sini pasa Khamis.
Jelasnya, pemilihan kali ini juga bakal memperlihatkan pemimpin baharu dan lama bergabung untuk menyusun strategi lebih tepat bagi memastikan UMNO menjadi lebih kuat.
"Saya yakin pemilihan kali ini akan dapat memperlihatkan pemimpin baharu dan lama akan bergabung," katanya.
Sementara itu, ketika ini sedang berlangsung proses cabutan nombor undi calon-calon pemillihan UMNO di peringkat pusat.
Proses cabutan yang diadakan di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn di sini bermula seawal jam 12 tengah hari Khamis.
Cabutan undi dilakukan oleh calon ataupun wakil calon itu dimulakan dengan Pergerakan Puteri, Pemuda dan Wanita.
Seterusnya cabutan melibatkan calon-calon Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bermula jam 5.00 petang dan mengikut susunan jawatan-jawatan yang dipertandingkan iaitu Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib Presiden dan Ahli MKT.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!