Dadah: Remaja 14 tahun antara 394 individu ditahan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 394 individu termasuk seorang remaja berusia 14 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam serbuan Op Tapis Khas yang bermula 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penahanan semua individu itu dibuat selepas 252 serbuan membabitkan 462 pemeriksaan yang dilakukan dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, daripada 394 individu yang ditangkap, 371 daripadanya adalah lelaki dan empat perempuan manakala selebihnya merupakan warga asing.

"Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 14 hingga 63 tahun. Sektor pekerjaan utama mereka yang ditahan adalah buruh dan pekerja ladang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ramli menambah, sebanyak 106.02 gram heroin, 40 gram syabu, 13.38 gram ganja dan 29.10 liter air ketum yang dianggarkan berjumlah RM10,000 berjaya dirampas.

"Turut dirampas dalam operasi berkenaan ialah dua motosikal bernilai RM8,406 menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM18,406," ujar beliau.

Ramli berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang berjaya melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang menjadi masalah sosial dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, operasi yang dijalankan secara serentak di 11 daerah di negeri ini menumpukan kawasan Felda dan rumah kediaman yang dikenal pasti.

Dalam pada itu, Ramli meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan atau aktiviti dadah ke pusat kawalan kontinjen Pahang ditalian 095051999/2202 atau hotline JSJN 012-2087222 atau mana- mana balai berdekatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!