Dua warga emas maut terperangkap banjir di Segamat

Ahmad Zamry menunjukkan keadaan rumah salah seorang mangsa banjir yang ditemukan maut di Jalan Kwongsai, Chaah, Segamat, pagi tadi. - Foto Astro AWANI
Ahmad Zamry menunjukkan keadaan rumah salah seorang mangsa banjir yang ditemukan maut di Jalan Kwongsai, Chaah, Segamat, pagi tadi. - Foto Astro AWANI
A
A
A

SEGAMAT - Dua warga emas ditemukan maut di dua rumah berasingan di Jalan Kwongsai, Chaah di sini pagi Khamis. 


Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi tadi, mangsa Lee Amo Yee, 78, dan Tan Sue Ke, 74, ditemukan terperangkap di kediaman masing-masing oleh waris mereka. 


Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pasukan penyelamat bertindak melakukan pemeriksaan di kawasan rumah berkenaan sejurus selepas menerima maklumat daripada anak masing-masing.

“Akibat bencana banjir ini, setakat ini kita telah kehilangan dua nyawa iaitu satu lelaki dan perempuan yang terperangkap di rumah masing-masing.

“Awalnya kami menerima makluman daripada ahli keluarga dan apabila kawasan Chaah pulih daripada banjir sepenuhnya, kita periksa kedua-dua rumah mangsa dan mendapati mereka ditemui terperangkap dalam bencana banjir itu,” katanya ketika ditemui di sini pada Khamis. 


Mengulas lanjut ujarnya, kejadian dipercayai berlaku apabila air naik mendadak setinggi dua meter dan mencecah paras bumbung di kediaman mangsa yang terletak berhampiran Balai Polis Chaah. 


Ujarnya, kedua-dua mangsa yang tinggal berseorangan merupakan jiran dan jarak rumah mereka hanya kira-kira 400 meter.

“Kawasan rumah ini berada di kawasan pekan Chaah, Segamat iaitu di belakang Balai Polis Chaah dan dipercayai kedua-dua mangsa gagal keluar menyelamatkan diri apabila air naik dengan pantas. 


“Kedua-dua mangsa ini dibawa ke Hospital Segamat untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” tambahnya. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!