Op Tapis: 530 orang terlibat dadah ditahan

Gambar kiri:Polis menjalankan Op Tapis Khas bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di Perak. - Foto Ihsan PDRM Gambar kanan: Polis menjalankan Op Tapis Khas bermula Isnin hingga Rabu bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di Perak. Foto: ihsan PDRM
Gambar kiri:Polis menjalankan Op Tapis Khas bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di Perak. - Foto Ihsan PDRM Gambar kanan: Polis menjalankan Op Tapis Khas bermula Isnin hingga Rabu bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di Perak. Foto: ihsan PDRM
A
A
A

IPOH - Polis Perak berjaya menahan 530 individu termasuk lapan wanita yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi Op Tapis Khas bermula Isnin hingga Rabu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kesemua suspek berusia 17 hingga 67 tahun itu ditahan dalam serbuan di 11 lokasi penagihan dadah di seluruh negeri.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 13 warga asing terdiri warga Myanmar, Thailand, Bangladesh, Indonesia dan Laos turut ditahan.

"Seramai 50 individu ditahan di bawah kesalahan pengedaran dadah, 178 orang disyaki terlibat dalam kesalahan memiliki dadah manakala 302 penagih disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Seramai 12 orang dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki ditahan manakala sembilan suspek dikenalpasti penagih dadah tegar akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C akta sama," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Mohd Yusri berkata, polis telah merampas pelbagai dadah bernilai RM35,254.50.

"Dadah dirampas merangkumi 494 gram (g) heroin, syabu/methamphetamine (155g), ganja (34g), 55.7 liter cecair ketum, 1.2 liter metadon dan 0.7g pil erimin 5.

"Sebuah kereta, wang tunai dan barang kemas berjumlah RM12,518 turut disita," katanya.

Tambah beliau, operasi selama tiga hari itu melibatkan 290 pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

"Operasi ini dijalankan bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah dengan menumpukan sarang-sarang penagih dadah, hasil risikan yang dijalankan sebelum ini.

"Kejayaan ini hasil daripada kerjasama berterusan antara masyarakat dan agensi penguatkuasaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!