Tapak sampah haram: Penduduk jadi 'mata-mata'
PASIR PUTEH - Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) menjalin kerjasama dengan penghulu mukim dan penduduk di Jalan Yaakob Samba, Wakaf Lanas di sini untuk menjadi 'mata-mata' bagi mengawasi kawasan tapak pembuangan sampah haram.
Ketua Unit Perlesenan dan Kesihatan Persekitaran, Mohd Haqqul Mubin Othman berkata, langkah itu bagi memantau perbuatan tersebut daripada terus berulang pada masa hadapan.
"Pihak kami telah melakukan kerja-kerja pembersihan, namun masyarakat masih mengulangi benda sama. Jika perbuatan tersebut berjaya dikesan, tindakan tegas akan dikenakan kepada individu yang berbuat demikian.
"Pada hari ini (Khamis) MDPP telah memasang papan tanda sebagai peringatan," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, pihaknya tidak boleh memagar kawasan tapak pembuangan sampah haram itu kerana tanah tersebut bukan milik MDPP.
Ujarnya, bagi menangani isu tersebut juga pihaknya akan memberikan tong sampah kepada penduduk yang membuat permohonan.
Mohd Haqqul Mubin memberitahu, ia bergantung kepada kesesuaian lori jentera sisa pepejal untuk melakukan pungutan di kawasan tersebut.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan penduduk mendedahkan sudah empat tahun mereka terpaksa hidu bau busuk dan menatap pemandangan jijik disebabkan tapak pembuangan sampah haram yang wujud tanpa disedari.
Penduduk yang ingin dikenali sebagai Yahya, 69, berkata, perbuatan membuang sampah di kawasan yang tidak diwarta itu dipercayai dilakukan oleh orang luar dan bukan penduduk setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!