Mercy Malaysia percepat bantuan banjir di Johor
SHAH ALAM - Mercy Malaysia telah bertindak menghantar pasukan bagi membantu mangsa banjir di Johor termasuk menyediakan sokongan kesihatan.
Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, bantuan kemanusiaan tersebut memberi tumpuan kepada serampang empat mata bagi membantu mangsa banjir.
“Antara fokus utama bantuan ini merangkumi sokongan penjagaan kesihatan, makanan, air, sanitasi dan logistik serta operasi.
“Misi kemanusiaan Mercy terhadap banjir akan dipertingkatkan untuk memastikan penyelarasan berstruktur untuk kecemasan kepada sokongan pemulihan,”ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, pasukan perubatan kecemasan dihantar segera bagi memberi bantuan kecemasan kepada masyarakat yang terjejas akibat Monsun Timur Laut.
Menurut beliau, bermula 1 Mac pasukan tersebut telah menubuhkan klinik bergerak di daerah Kluang yang paling teruk dilanda banjir.
“Mercy Malaysia sudah mula menghantar kit penjagaan kesihatan dan mengedarkan 500 set kit kebersihan kepada mereka yang terjejas.
“Pengagihan lanjut kit kebersihan dan bantuan lain telah dijadualkan setiap hari bukan sahaja ke Johor tetapi negeri lain yang turut terjejas,”jelasnya.
Ujarnya, pasukan penilaian pantas Mercy telah ditempatkan ke negeri yang terjejas bagi mengumpulkan data dan menganalisis situasi di lapangan supaya dapat mengetahui keperluan komuniti untuk perancangan tindak balas yang holistik.
“Pasukan Mercy akan mempertingkatkan bantuan terhadap mangsa banjir dengan memastikan penyelarasan berstruktur untuk bantuan sokongan kecemasan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!