Selangor berpesta gol, belasah Kuching City FC

Pemain pertahanan Selangor FC Sharul Nazeem Zulpakar menanduk bola daripada terlepas ke pasukan lawan pada saingan Liga Super di Stadium Negeri. - Foto Bernama
Pemain pertahanan Selangor FC Sharul Nazeem Zulpakar menanduk bola daripada terlepas ke pasukan lawan pada saingan Liga Super di Stadium Negeri. - Foto Bernama
A
A
A

SELANGOR FC berpesta gol apabila membelasah Kuching City FC 5-0 pada aksi Liga Super 2023 di Stadium Negeri Sarawak, Kuching, malam ini.

Skuad Gergasi Merah yang turun dengan formasi 4-3-3, bermula garang dengan melancarkan serangan bertali arus sehingga berhasil membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah Noor Al Deen Mahmoud Ali Al Rawabdeh dari Jordan pada minit keempat perlawanan.

Anak buah Tan Cheng Hoe yang mempamerkan corak agresif menambah jaringan lima minit kemudian menerusi penyerang Ayron Del Valle Rodriguez selepas menerima hantaran kapten pasukan Brendan Gan dari kiri padang untuk menembusi barisan pertahanan anak buah Irfan Bakti Abu Salim.

Bersambung babak kedua, Noor Al Deen sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring apabila memanfaatkan gerakan lincah pemain sensasi Muhammad Faisal Abdul Halim Faisal Halim dari kiri padang pada minit ke-48.

Skuad Gergasi Merah terus berpesta gol pada minit ke-65, apabila Brendan cemerlang menyudahkan gerakan dari kiri padang yang dimulakan Muhammad Faisal selepas tidak menerima sebarang tekanan barisan pertahanan skuad Cats.

Penyerang muda Selangor Ahmad Danial Ahmad Asri menambah derita buat skuad Kuching City apabila meledak gol kelima pada minit ke-73 menerusi rembatan padu kaki kanannya, sekali gus menyaksikan Selangor mencatat kemenangan 5-0 di gelanggang lawan.

Sementara itu, aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan menyaksikan skuad tuan rumah, Sri Pahang FC cemerlang mengutip tiga mata apabila membelasah Kelantan FC 4-1.

Penyerang Kpah Sherman Sean menceriakan penyokong tuan rumah apabila membuka jaringan pada minit ke-12, diikuti pemain berdarah kacukan Filipina-Jerman, Kevin Langbehn Ingreso yang menggandakan jaringan pada minit ke-38.

Belum sempat pemain Kelantan memperkemas permainan, pemain naturalisasi yang bertindak sebagai kapten pasukan Sergio Aguero menghukum benteng pertahanan skuad Red Warriors dengan gol ketiga pada minit ke-43.

Pemain pertahanan dari Argentina Stefano Brundo menambah jaringan keempat buat pasukan tiga minit kemudian, sebelum pemain Kelantan Miguel Angel Garrido berjaya meraih gol sagu hati pada masa kecederaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!