10 jalan di Kota Tinggi, dua di Mersing ditutup kepada semua kenderaan
KOTA TINGGI - Sebanyak 10 jalan di daerah ini telah ditutup untuk semua kenderaan kerana dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak semalam.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi, menerusi Facebook rasminya, memaklumkan penutupan itu melibatkan Jalan Tun Sri Lanang (Bandar Kota Tinggi), Jalan Kampung Kelantan atau Kampung Panti serta Jalan Mawai Lama (Rumah Burung).
"Turut ditutup Jalan Sungai Telor selain Jalan Semangar Dalam dan Jalan Kota Tinggi-Kluang (MARA) susulan air deras dengan kesemua jalan berkenaan paras airnya melebihi 0.4 meter," menurutnya, malam ini.
Jabatan itu turut memaklumkan, empat lagi jalan iaitu Jalan Johor Bahru-Endau (Ladang RISDA), Jalan Johor Bahru-Endau (Yatamacity), Jalan Johor Bahru-Endau (sebelum hentian Rehat dan Rawat (RnR) Panti) serta Jalan Johor Bahru-Endau (RnR Panti) turut ditutup sepenuhnya dan pengguna disaran menggunakan jalan alternatif (lencongan).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Supt Abdul Razak Abdullah Sani, ketika dihubungi Bernama malam ini, berkata dua jalan di daerah Mersing turut ditutup kepada semua kenderaan melibatkan Jalan Nitar Utama dan Jalan Nitar-Tanah Abang.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!