Nyaris kemalangan gara-gara pemandu panik dengan roadblock

PATI mudah panik apabila berdepan sekatan jalan raya sekali gus mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain. - Gambar hiasan
PATI mudah panik apabila berdepan sekatan jalan raya sekali gus mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain. - Gambar hiasan
A
A
A

MERAK Jalanan jarang marah-marah atau bunyikan hon sesuka hati semasa memandu kereta, malah sentiasa bersikap budiman apabila berada di atas jalan raya.

Pemanduan berhemah Merak Jalanan semakin terserlah setiap kali memandu di samping isteri dan anak-anak.

Namun, insiden di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini menyebabkan darah Merak Jalanan mendidih. Bukan marah kepada isteri yang suka beri teka-teki ketika Merak Jalanan sedang khusyuk memandu, juga jauh sekali memarahi anak-anak yang bising kerana masing-masing berebut hendak menjawab teka-teki ibunya.

Tetapi kemarahan itu ditujukan khas kepada pemandu dan penumpang Proton Wira yang berada di hadapan Merak Jalanan kerana membrek serta memberhentikan kenderaan dipandu secara tiba-tiba.

Kejadian itu berlaku di selekoh yang menyebabkan anak bongsu dan isteri di bahagian penumpang hadapan nyaris ‘mencium’ dashboard.

Serentak itu juga Merak Jalanan membunyikan hon paling lama sejak memperoleh lesen D daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kira-kira 22 tahun yang lalu.

Merak Jalanan lihat dua lelaki yang berada di dalam Proton Wira itu macam panik. Dari segi fizikal nampak seperti pendatang asing tanpa izin (PATI).

Kenapa mereka panik? Kerana terdapat sekatan jalan raya oleh agensi penguatkuasaan dalam jarak kira-kira 100 meter di hadapan.

Mujur Merak Jalanan sekeluarga selamat dan bersyukur juga tak ada kenderaan berat lain yang mengekori rapat di belakang.

Merak Jalanan nak berpesan kepada rakyat tempatan di negara ini, jangan pinjam, sewa atau jual kenderaan anda kepada orang asing atau PATI.

Mereka ini ‘kosong’ dan kepanikan mereka di atas jalan raya undang musibah kepada pengguna lain. Tak pasal-pasal orang lain tanggung rugi dan masuk hospital!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!