Orang kampung sanggup dermakan duit tabung

Shahrul Anuar dan isteri, Intanursyima berharap dapat mengumpul dana RM80,000 bagi menjalani pembedahan yang dijadualkan bulan depan.
Shahrul Anuar dan isteri, Intanursyima berharap dapat mengumpul dana RM80,000 bagi menjalani pembedahan yang dijadualkan bulan depan.
A
A
A

PADANG RENGAS - Keprihatinan penduduk kampung yang sanggup menderma duit tabung bagi menampung kos pembedahan meruntun hati seorang pesakit lymphatic filariasis atau kaki gajah, Shahrul Anuar Halimi, 47.

Shahrul Anuar dari Kampung Buaia di sini, berkata, setelah usahanya mengumpul wang pembedahan yang dianggarkan RM80,000 diketahui ramai, penduduk kampung turut membantu menyumbang.

"Ramai yang beri sumbangan. Paling terkesan apabila ada seorang mak cik datang ke rumah dan hulurkan satu sampul berisi wang. Semuanya berisi RM1 sebanyak RM116.

"Saya tidak tergamak untuk ambil, saya menangis mengenangkan keikhlasan dia untuk membantu saya," katanya ketika ditemui di kediamannya pada Rabu.

Bapa kepada dua anak itu berkata, derita penyakit di kaki kanannya itu telah berlarutan sejak 21 tahun lalu dan semakin membesar hingga mencecah 100 kilogram menyebabkannya terlantar dan sukar menguruskan diri.

Dia menanam impian untuk menjalani pembedahan selepas melihat kejayaan pembedahan pesakit yang mengalami penyakit sama di sebuah hospital swasta di Shah Alam.

"Rawatan awal sudah dilakukan dan doktor juga maklumkan kaki saya boleh pulih menerusi pembedahan yang dijadualkan bulan hadapan.

"Cuma kosnya agak tinggi sekitar RM80,000. Setakat ini saya baru dapat mengumpul RM25,000, itupun melalui sumbangan kenalan dan saudara-mara," katanya.

Shahrul Anuar yang merupakan pemegang kad kurang upaya (OKU) berharap dapat menjalani kehidupan seperti biasa demi kelangsungan keluarganya.

Katanya, isteri, Intanursyima Abd Halim, 47, juga merupakan pemegang kad OKU disebabkan beberapa penyakit termasuk angin ahmar selain kedua-dua anak mereka, Muhammad Hakimie, 22, dan Nurul Fatihah, 22, juga OKU.

"Selepas menjalani pembedahan nanti, saya mahu ke solat jemaah di masjid, dah lama sangat saya tak ke sana.

"Paling penting, saya nak bantu isteri meneruskan perniagaan daging perapan kami," katanya.

Sementara itu, Intanursyima mengakui, berusaha melakukan banyak kerja dalam keterbatasan dirinya demi menampung perbelanjaan rawatan perubatan suami.

Katanya, selain meneruskan perniagaan perapan ayam dan daging, dia juga menjual pelbagai jenis kerepek.

"Saya buat apa sahaja untuk suami, saya mahu dia sihat dan berjalan seperti dulu. Sudah lama kami tidak rasa kebahagiaan macam keluarga lain.

"Harapan saya agar pembedahan ini berjaya, saya mahu lihat dia berjalan, dapat berjalan ke tandas sendiri pun jadilah," katanya.

Bagi mereka yang ingin menyalurkan bantuan boleh menyumbang menerusi nombor akaun Maybank Shahrul Anuar Halimi 158097689705 atau hubungi di talian 013-5931805.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!