Buat umrah atau content?

Zaman sekarang semuanya telah berubah sehinggakan ketika melakukan saie dan tawaf pun ada yang buat live serta video. - Gambar hiasan
Zaman sekarang semuanya telah berubah sehinggakan ketika melakukan saie dan tawaf pun ada yang buat live serta video. - Gambar hiasan
A
A
A

MENUNAIKAN umrah adalah antara ibadah yang dituntut dalam Islam sekiranya berkemampuan. Namun, kebelakangan ini seolah-olah menjadi trend yang pergi umrah lebih sibuk membuat content untuk dimuat naik di media sosial masing-masing.

Walaupun yang melakukannya hanya segelintir tetapi ia ibarat kata pepatah ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’. Walaupun lebih ramai yang ikhlas beribadat tetapi mereka tetap terpalit sama.

Tatkala rata-rata umat Islam berusaha ke arah kebaikan dengan penyucian diri ke rumah ALLAH SWT, ada pula yang datang dengan niat berbeza.

Yang menyedihkan, terdapat individu menjadikan umrah sebagai trip pelancongan tanpa ada rasa keinsafan sehinggakan di mana-mana sahaja termasuk di depan Kaabah, mereka berebut untuk mengambil video dan gambar sebagai antara kandungan bagi meraih perhatian orang ramai.

Bukan bermaksud penulis cemburu dan iri hati dengan mereka kerana diizinkan melangkah ke tanah haram yang penuh dengan sejarah Islam, namun biarlah apa sahaja yang dilakukan itu, kita niat ikhlas untuk mendapat reda-Nya, bukan pujian manusia.

Di Tanah Suci, semua umat Islam tanpa mengira pangkat, kaya atau miskin, semuanya adalah sama. Sayangnya apabila hati ‘digoda’ dan diuji dengan sifat riak serta bangga diri kerana dapat menjejakkan kaki di bumi Makkah mahupun Madinah, mereka tanpa segan silu berkongsi pelbagai gambar jubah dan khimar yang dipakai seperti pergi ke majlis peragaan fesyen. Situasi sebegini berbeza sebelum zaman media sosial.

Zaman sekarang semuanya telah berubah sehinggakan ketika melakukan saie dan tawaf pun ada yang buat live serta video.

Walaupun ada kandungan live tersebut memberikan ilmu pengetahuan tetapi ia seperti tidak kena pada tempatnya.

Malah, penulis juga mendapati ada dalam kalangan pengusaha produk yang mengambil kesempatan mempromosikan itu dan ini, produk sendiri mahupun produk orang lain semata-mata demi content di depan Kaabah.

Sesungguhnya, kembalilah kepada niat kita bahawa kita sedang beribadat dan dalam keadaan ihram. Risau nawaitu yang kita jaga sejak di tanah air berubah, ke sana bukan untuk keinsafan tetapi mahu menarik penonton dan peminat ramai.

Kerana itu, para ulama sangat menekankan isu ‘niat’ kena ikhlaskan diri kepada ALLAH SWT.

Isu ini juga mendapat perhatian penceramah, Abdullah Khairi dan Dr Kamilin Jamilin yang membuat teguran kasih sayang melalui perkongsian mereka tentang segelintir umat yang menunjuk-menunjuk ketika mengerjakan umrah dan seolah-olah pergi untuk makan angin.

Perkongsian para ilmuwan itu mudah-mudahan dapat menjentik hati kita agar tidak tersalah landasan untuk apa kita mengerjakan umrah dan sebagainya, tidak lain tidak bukan menghambakan diri kepada-Nya dan melihat kekuasaan-Nya.

Namun, tidak dinafikan ada juga yang memuat naik gambar umrah bagi memberi inspirasi kepada mereka yang belum pernah menjejaki di bumi para anbia.

Malah, ada juga yang mengambil peluang berkongsi informasi, pengalaman dan juga 'umrah DIY’ yang dilaksanakan agar hati sentiasa berkeinginan untuk mengerjakan umrah mahupun haji suatu hari nanti.

Apa pun, sekali lagi penulis mengingatkan agar berpada-padalah untuk berkongsi di media sosial. Ada yang boleh dikongsi dan ada yang lebih baik disimpan untuk sendiri sahaja.

Ia penting bagi memastikan agama Islam tidak dicemari dengan sikap mereka yang pentingkan diri. Semoga kita semua tidak termasuk dalam golongan seperti itu.

*Nor Farhana Ya’acob ialah wartawan Sinar Harian Melaka & Negeri Sembilan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!