Kilang baja keluar bau busuk disita

Kilang baja beroperasi tanpa lesen disita MPKS pada Khamis.
Kilang baja beroperasi tanpa lesen disita MPKS pada Khamis.
A
A
A

TANJONG KARANG - Sebuah kilang baja di Bagan Tengkorak di sini disita Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) kerana beroperasi tanpa lesen dan menimbulkan kacau ganggu.

MPKS dalam satu kenyataan berkata, operasi bersepadu dijalankan pada Khamis selepas menerima aduan daripada orang awam mengenai gangguan bau busuk yang dihasilkan oleh kilang tersebut yang memproses sisa ayam sebagai baja pertanian.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan mendapati kilang tersebut beroperasi di lokasi terlindung dengan aktiviti pertanian.

"Kilang ini pernah disita oleh MPKS pada 14 Jun 2022.

"Pihak pengusaha juga telah gagal menyediakan persekitaran yang bersih sehingga mengeluarkan bau busuk," katanya pada Khamis.

Pegawai MPKS menyemak dokumen operasi kilang baja yang telah mengeluarkan bau busuk dan menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk sekitar.
Pegawai MPKS menyemak dokumen operasi kilang baja yang telah mengeluarkan bau busuk dan menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk sekitar.

Ujar kenyataan itu, kilang berkenaan telah diarahkan tutup serta-merta dan dikenakan kompaun ekoran kesalahan tidak memiliki lesen aktiviti mengilang.

"Sitaan turut dikenakan melibatkan satu unit penjana kuasa elektrik dan satu unit ‘forklift’.

"Kes disiasat di bawah UUK 3 Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Daerah Kuala Selangor) 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen daripada pihak berkuasa," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!