Najib, Arul Kanda tiba di mahkamah pagi ini
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy tiba di Mahkamah Tinggi di sini masing-masing jam 8.42 dan 9.13 pagi Jumaat, untuk mendengar keputusan kes meminda laporan audit syarikat strategik negara itu.
Nasib mereka sama ada dibebaskan atau diperintah untuk membela diri akan diketahui selepas Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, membaca keputusan penghakimannya, sekitar jam 9.30 pagi.
Sekiranya mahkamah memutuskan pasukan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, bekas Ahli Parlimen Pekan dan bekas CEO 1MDB itu diperintahkan untuk membela diri atas pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.
Kedua-dua tertuduh kemudiannya diberi tiga pilihan iaitu pertama berdiam diri dengan tidak menjawab pertuduhan atau kedua memberikan kenyataan tidak bersumpah tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.
Sementara pilihan ketiga, memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.
Selepas membuat pilihan berkenaan, mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan kes berkenaan mengikut waktu yang bersesuaian dengan kesemua pihak yang terlibat.
Senarai dan bilangan saksi pembelaan juga akan ditanya bagi menentukan jurang waktu yang diperlukan untuk prosiding bela diri.
Bagaimanapun, jika mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, kedua-duanya akan dilepas dan dibebaskan serta-merta, tanpa perlu dipangil untuk bela diri.
Wang jaminan dan syarat tambahan yang dikenakan terhadap tertuduh juga akan dikembalikan.
Tahun lalu, Arul Kanda menjadi saksi dan memberi keterangan terhadap Najib, selepas mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Najib, 70, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.
Arul Kanda, 46, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, namun bekas Hakim Mahkamah Persekutuan berusia 79 tahun itu meninggal dunia pada 29 Januari lalu.
Ia akan diteruskan oleh pasukan pendakwaan sedia ada antaranya Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Mustapa P Kunyalam.
Pihak pembelaan pula oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi pihak Najib sementara Datuk N Sivananthan untuk Arul Kanda.
Najib masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil seramai 44 saksi.
Dua lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta, yang masing-masing masih di peringkat pengurusan kes.
Najib sedang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda berhubung kes menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!