Dua kontraktor ditahan kes tuntutan palsu lebih RM1.7 juta
JOHOR BAHRU - Dua pemilik syarikat kontraktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu lebih RM1.7 juta.
Kedua-dua lelaki tersebut berusia 33 tahun dan 43 tahun ditahan kira-kira jam 1 petang tadi di Pejabat SPRM Johor.
Menurut sumber, tuntutan palsu itu dibuat dari pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk kerja-kerja menyelenggara dan membaiki sistem lampu isyarat yang tidak dilaksanakan sepenuhnya.
"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek telah bersubahat membuat tuntutan palsu berkaitan kerja-kerja menyelenggara dan membaiki sistem lampu isyarat di beberapa kawasan sekitar Pasir Gudang dan Bandar Seri Alam.
"Kesalahan itu dibuat bagi tahun 2016 yang berjumlah lebih RM1.7 juta sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!