Polis siasat video aksi 3 remaja keluar kepala dari 'sunroof'

Tangkap layar aksi berbahaya tiga remaja mengeluarkan kepala melalui sunroof MPV yang sedang bergerak. - Foto Ihsan pembaca
Tangkap layar aksi berbahaya tiga remaja mengeluarkan kepala melalui sunroof MPV yang sedang bergerak. - Foto Ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Polis menyiasat aksi berbahaya tiga remaja yang mengeluarkan kepala melalui bumbung tembus cahaya (sunroof) sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Sultan Idris Shah di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan dilakukan selepas menerima satu laporan polis berkaitan perkara itu selain video perbuatan itu tular di media sosial.

"Polis berjaya mengesan pemandu dan penumpang kenderaan terbabit dan ketiga-tiga individu yang mengeluarkan kepala dalam video tular itu berusia 13 dan 16 tahun.

"Kejadian berlaku pada jam 10.40 malam pada Rabu, ibu remaja terbabit turut berada dalam kenderaan yang dipandu saudara mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain dan Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

"Pihak polis kini sedang mengesan individu yang merakam kejadian itu bagi membantu siasatan. Individu tersebut boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Yap Siew Cheng di talian 012-9093362.

"Orang ramai khususnya ibu bapa dan penjaga dinasihatkan untuk tidak membiarkan kanak-kanak melakukan perbuatan yang mungkin mendatangkan bahaya dan risiko keselamatan lain," katanya.

Terdahulu, tular di Facebook, dua video berdurasi 24 dan sembilan saat yang memaparkan tiga individu mengeluarkan kepala daripada sebuah kenderaan MPV yang sedang bergerak di atas jalan raya.

Tindakan berbahaya penumpang kenderaan itu mengundang reaksi kurang senang warga maya yang bimbang dengan keselamatan mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!