Remaja kritikal terhidu asap kebakaran
IPOH - Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun terpaksa dikejarkan ke hospital akibat terhidu asal tebal selepas rumah didiaminya terbakar dalam kejadian di Taman Suria, Jalan Kuala Kangsar di sini pada Khamis.
Dalam kejadian itu, bapa mangsa berusia 44 tahun turut diberi rawatan selepas mengalami kecederaan di kaki dan tangan selain melecur satu peratus di bahu kiri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Mohd Azman Husin berkata, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 12.44 tengah malam.
Menurutnya, kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat kelas A yang mana lima sekeluarga berjaya menyelamatkan diri.
"Bagaimanapun terdapat seorang mangsa terperangkap dalam kejadian itu dan anggota bertindak menyelamatkan mangsa ketika api sedang marak.
"Mangsa yang ditemui tidak sedarkan diri di luar bilik berjaya dibawa keluar. Berikutan keadaannya yang kritikal, kita beri bantuan pernafasan (CPR) sepanjang perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB)," katanya di sini pada Jumaat.
Mohd Azman berkata, isteri dan tiga anak mangsa berusia 18, 16 dan 10 tahun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
"Operasi pemadaman diteruskan di bahagian ruang tamu rumah yang musnah terbakar kira-kira 35 peratus.
"Operasi yang tamat pada jam 2.10 pagi turut dibantu pasukan dari BBP Meru Raya dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!