Taiwan dipilih destinasi pilihan Asia - MATTA

Cynthia dan Shin Pi ketika memperkenalkan Biro Pelancongan Taiwan sebagai rakan pameran di Pejabat MATTA pada Rabu.
Cynthia dan Shin Pi ketika memperkenalkan Biro Pelancongan Taiwan sebagai rakan pameran di Pejabat MATTA pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taiwan dipilih sebagai destinasi pilihan Asia sempena Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) pada 17 hingga 19 Mac ini.

Naib Presiden Pengembaraan Luar Negara, Cynthia Tan Bee Sim berkata, ia berdasarkan negara itu adalah antara destinasi mesra Muslim yang terbaik dengan menawarkan hampir 300 restoran dan hotel yang mempunyai sijil halal.

Menurutnya, pihak Biro Pelancongan Taiwan menyasarkan 30,000 pelancong dari Malaysia khususnya Muslim pada tahun ini.

“Selepas hampir tiga tahun, seluruh dunia terkesan dengan pandemik. Walaupun sambutan kurang memberangsangkan bermula tahun 2023, namun negara itu tetap menyasarkan lebih 20 peratus atau 30,000 pelancong yang datang.

“Dibandingkan tahun sebelum pandemik, hampir 600,000 pelancong yang datang melawat Taiwan. Jadi, perbezaan potensi itu memang ketara.

“Justeru, melalui pameran MATTA, saya amat positif Taiwan dapat meningkatkan kembali jumlah pelancong mereka terutama Muslim,” katanya ketika sidang akhbar memperkenalkan Biro Pelancongan Taiwan sebagai rakan pameran di Pejabat Matta, Jalan Metro Pudu di sini pada Rabu.

Tambah Cynthia, orang ramai khususnya beragama Islam tidak perlu lagi bimbang untuk ke Taiwan kerana bukan hanya terdapat pelbagai pilihan makanan halal, malah ia mudah didapati.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Biro Pelancongan Taiwan di Kuala Lumpur, Abe Chou Shih Pi berkata, pelancong yang mahu ke Taiwan pada tahun ini tidak perlu dikuarantin termasuk menunjukkan sijil vaksin.

Ujarnya, mereka hanya perlu sediakan pasport dan bajet yang mencukupi.

“Perbelanjaan pun berpatutan. Pelancong tidak akan rugi kerana dapat menikmati pelbagai jenis makanan Cina yang enak dan tempat menarik,” katanya.

Dalam perkembangan sama, menurut Shih Pi, pihaknya memang menyasarkan pasaran pelancongan Muslim dari negara ini.

Jelasnya lagi, jadi penting untuk mengadakan kempen atau menyertai pameran bagi memperkenalkan negara Taiwan yang mesra Muslim khususnya beragama Islam dari seluruh dunia.

Tambah beliau, Biro Pelancongan Taiwan turut melantik selebriti Muslim Malaysia iaitu Ayda Jebat sebagai Duta ‘Salam Taiwan’.

Jelasnya, pelantikan Ayda adalah salah satu inisiatif mereka untuk memfokuskan kepada Taiwan mesra Muslim.

“Ayda sendiri merasai lawatan ke negara berkenaan dan mengakui betapa mudahnya khususnya Muslim dapat mencari makanan halal, selain dapat menikmati keindahan Taiwan.

“Bukan hanya makan di hotel dan restoran, kami juga akan memastikan makanan yang dijual di tepi jalan juga halal (street food).

“Justeru, Ayda turut hadir pada 18 Mac nanti pada pameran MATTA bagi berkongsi pengalamannya dan orang ramai dijemput hadir untuk mengetahui lebih lanjut promosi serta potongan harga menarik yang akan diberikan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!