Bunuh pemilik kebun: 2 lelaki Myanmar berdepan hukuman mati

Yan Mai dan Maung Piaw dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson pada Jumaat.
Yan Mai dan Maung Piaw dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson pada Jumaat.
A
A
A

PORT DICKSON - Dua lelaki warga Myanmar berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan selepas didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson di sini pada Jumaat atas pertuduhan membunuh seorang lelaki bulan lalu.

Tertuduh, Yan Mai, 19, dan Maung Piaw, 19, yang merupakan pekerja buruh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret V Vanita.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didapati membunuh Low Seng Poh, 44, pada 18 Februari 2023 antara jam lebih kurang 12.15 tengah malam hingga 2 pagi di kebun buah naga, Tanah Merah Site A di Port Dickson.

Berikutan itu mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum itu, Vanita menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap kedua-dua tertuduh selepas mengaku bersalah berada di negara ini tanpa pas masuk yang sah.

Kesalahan itu dilakukan pada 2 Mac 2023, jam lebih kurang 4 petang di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63(Akta 155)(Pindaan 2002) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya serta disebat tidak melebihi enam sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, DJiwan Kaur Malkith Singh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 18 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan dendam dipercayai menjadi punca seorang pemilik kebun buah naga yang merupakan lelaki berusia 44 tahun dibunuh.

Mayat lelaki terbabit ditemukan dalam keadaan tertiarap serta kedua-dua tangan dan kaki diikat dengan tali.

Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis diketuai Cawangan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan dibantu Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson telah membuat tangkapan terhadap suspek iaitu empat lelaki warga Myanmar di Shah Alam, Selangor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!