Mesyuarat SPP tentukan calon Timbalan Ketua Polis Negara
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) akan menentukan calon bakal menggantikan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain yang akan bersara wajib pada 15 Mac ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, SPP akan mengadakan satu mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi menentukan calon-calon berpotensi untuk mengisi jawatan kedua kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Terdapat beberapa calon layak diberi pertimbangan bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 di sini, pada Jumaat.
Acryl Sani berkata, mesyuarat khas akan diadakan oleh SPP bagi menentukan kekosongan beberapa perjawatan tertinggi susulan persaraan wajib umur 60 tahun.
"Justeru, pemilihan dan penentuan akan dilakukan melalui mesyuarat SPP tidak berapa lama lagi, kita tunggu apakah yang akan diumumkan SPP," katanya.
Pengarah Jabatan Pengurusan, Datuk Seri Zaini Jass akan bersara wajib pada 9 Mac ini diikuti Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain pada 14 Mac depan.
Selain itu, persaraan itu diikuti oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Abd Jalil Hassan pada 16 April dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!