Penyamun bertopeng sudah kena tahan
KLANG - Tiga lelaki diberkas dipercayai terlibat dalam kejadian samun berkumpulan melibatkan seorang wanita di tepi Jalan Mohtar, Kapar di sini pada 16 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, ketiga-tiga suspek tersebut diberkas berasingan menerusi Op Cantas yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Utara.
"Operasi bermula pada 1 Mac kira-kira jam 8.20 malam telah memberkas dua suspek berumur antara 36 dan 43 tahun di Jalan Dato Dagang dan Taman Sentosa, Klang.
"Tangkapan ini kemudian membawa kepada tangkapan suspek seterusnya yang berumur 46 tahun di Jalan Dato Yusuf Shahbudin Taman Sentosa, Klang kira-kira jam 12.05 tengah malam pada 2 Mac," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Vijaya Rao berkata, serbuan dijalankan turut menemui sebuah kereta jenis Honda City yang dipercayai digunakan suspek ketika menjalankan kegiatan jenayah samun.
"Semakan nombor pendaftaran Honda City tersebut mendapati ia menggunakan nombor pendaftaran palsu.
"Selain itu, semakan turut mendapati kereta tersebut dilaporkan hilang berdasarkan laporan polis yang diterima sebelum ini," katanya.
Menurutnya, semakan rekod turut mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau.
"Ketiga-tiga suspek didapati mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dadah dan dadah selain ujian saringan dijalankan mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine.
"Selain itu, semakan mendapati suspek turut terlibat dalam beberapa siri samun tepi jalan dan pecah masuk kedai besi buruk sekitar Lembah Klang," katanya.
Tambahnya, kesemua suspek kini direman enam hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!