Pindaan audit 1MDB tiada kaitan Najib dapatkan suapan - Hakim

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR -[KEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat menyatakan bahawa kes pindaan Laporan Pengauditan Akhir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tiada kaitan dengan arahan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tujuan mendapatkan suapan untuk bekas Perdana Menteri itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Rayuan di Putrajaya berkata, tiada bukti menunjukkan Najib selaku tertuduh kedua telah mengarahkan pindaan yang dibuat untuk membebaskannya daripada sebarang liabiliti sivil atau jenayah.

Semasa membaca keputusan penghakimannya, Mohamed Zaini berkata, Najib bimbang laporan audit itu boleh diputar belit secara politik.

"Pihak pendakwaan tidak membuktikan cara ia dikeluarkan atau dipinda hingga boleh menimbulkan liabiliti sivil atau jenayah kepada tertuduh kedua.

"Pada pendapat saya, perkara yang dipinda daripada laporan audit terdahulu tidak akan mendedahkan atau menimbulkan sebarang liabiliti sivil atau jenayah kepada tertuduh kedua.

"Maka pindaan, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Audit Negara (ketika itu) adalah wajar," katanya.

Hakim ini berkata, mahkamah juga mendapati perkara yang dipinda atau dikeluarkan daripada laporan audit itu sudah diketahui dan dibincangkan secara terbuka oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Beliau berpendapat, Ketua Audit Negara mempunyai budi bicara mutlak untuk menerima sebarang cadangan pindaan kepada laporan berkenaaan.



Untuk rekod, beberapa perkara yang digugurkan dalam laporan audit itu ialah mengenai kegagalan Najib mendedahkan persetujuannya untuk menangguhkan usaha mengumpul dana RM5 bilion kepada Kabinet.



Ia turut menyentuh kehadiran ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB 2009 dan 1MDB mempunyai dua versi penyata kewangan untuk tahun kewangan 2014 iaitu kedua-dua penyata kewangan itu mempunyai maklumat berbeza.

Katanya, pindaaan yang dibuat bagi menggugurkan empat perkara daripada laporan audit awal tidak perlu dilakukan, jika pihak pengurusan 1MDB memberikan kerjasama yang baik sebelum ia diterbitkan.

“Ketua Audit Negara merupakan seorang yang berprinsip dan tekad dalam menjalankan tugasnya.

“Beliau akan menjawab apa-apa persoalan yang diajukan secara langsung, individu yang berprinsip dan penuh profesionalisme,” katanya.

Menyentuh tertuduh pertama iaitu Arul Kanda, mahkamah mendapati beliau telah memberi keterangan yang konsisten.

Menurutnya, Arul Kanda telah menjawab soalan yang dikemukakan dengan jujur malah selari dengan dokumen serta keterangan saksi lain.

“Saya sedar, dia mungkin cuba meminimumkan jawapannya dan menguatkan sebarang kesalahan terhadap tertuduh kedua.

“Pihak pendakwaan dalam pemeriksaan semula tidak pernah mencabar jawapan yang diberikannya semasa soal balas yang memihak kepada tertuduh kedua dan tiada percubaan untuk menganggapnya sebagai saksi yang bermusuhan,” katanya.

Mohamed Zaini berkata, ekoran masalah yang timbul sebelum menjadi CEO di syarikat strategik, Arul Kanda telah dikecam secara tidak adil.

Susulan itu katanya, mahkamah mengeluarkan perakuan indemniti iaitu pengecualian liabiliti undang-undang terhadap Arul Kanda, mengikut Seksyen 63(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Mohamed Zaini berkata, perakuan itu akan menghalang tindakan undang-undang terhadapnya berhubung perkara yang timbul daripada pertuduhan kes ini.

Najib, 70, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 46, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Najib masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil seramai 44 saksi.

Dua lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta, yang masing-masing masih di peringkat pengurusan kes.

Najib sedang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda berhubung kes menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!