Desak peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat
KUANTAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) mendesak kerajaan negeri menyalurkan peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat di negeri ini.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, desakan itu selaras dengan hasrat Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail seperti dalam ucapannya pada Pemukiman ADUN Pahang di Cameron Highlands sebelum ini.
Menurutnya, hasrat itu turut dinyatakan Wan Rosdy dalam ucapan pada majlis angkat sumpah sidang DUN yang pertama.
"Kami juga meminta kerajaan negeri menyegerakan sidang DUN yang dijadualkan Mac ini namun ditangguhkan sehingga Mei tanpa alasan munasabah.
"Kami melihat kerajaan negeri seolah tidak serius untuk mengadakan sidang DUN walaupun negeri berdepan dengan pelbagai isu besar yang memerlukan perbincangan dan keputusan penting dibuat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tuan Ibrahim berkata, ADUN PN meminta sidang DUN diadakan mengikut jadual asal seperti yang dikeluarkan sebelum ini.
Menurutnya, desakan itu dibuat hasil dapatan dalam permukiman ADUN PN yang diadakan di sini pada 27 Februari lalu.
Permukiman itu diadakan bagi membincang pelbagai isu di Pahang khususnya dalam mengukuhkan peranan ADUN PN dalam mengangkat isu rakyat dan pembangunan negeri.
"Semoga semua 17 ADUN PN di Pahang dapat mengangkat dan menyuarakan masalah rakyat selain menjadi pembangkang yang konstruktif, bersih dan stabil," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!