Real Madrid optimis layak ke final Piala Raja Sepanyol
REAL Madrid optimis mampu mengatasi Barcelona biarpun akan berkunjung ke laman lawan di Camp Nou bagi mengharungi aksi separuh akhir kedua Piala Raja Sepanyol awal bulan depan.
Jurulatihnya, Carlo Ancelotti percaya para pemainnya mampu menukar kelebihan Barca yang membawa pulang satu jaringan pada aksi pertama di Santiago Bernabeu awal pagi Jumaat.
Barca memperoleh gol kemenangan pada minit ke-26 apabila percubaan Franck Kessie ditampan Thibaut Courois, tetapi bola terkena Eder Militao sebelum masuk ke gawang Madrid.
“Kami tidak sepatutnya tewas. Masih ada 90 minit dan kami boleh menjaringkan satu gol di Barcelona,” ujar Ancelotti.
Ancelotti tetap yakin Madrid berupaya layak ke final walaupun Los Blancos gagal merekodkan sebarang percubaan tepat ke gawang lawan dalam aksi itu.
“Pasukan kami bermain dengan amat baik. Barcelona kelihatan seperti tidak mahu bermain,” katanya.
Bagaimanapun Ancelotti mengakui pasukannya belum benar-benar tajam, biarpun para pemain menguasai perlawanan dengan cukup baik.
“Masih belum cukup bagus di bahagian serangan. Kami bermain dengan cara yang kami perlu. Memberikan tekanan dan beraksi dengan fokus.
“Mereka (Barca) tidak melakukan apa-apa untuk mendapatkan gol, tetapi hanya bernasib baik dengan satu biasan. Kami masih mempunyai 90 minit untuk menterbalikkan keadaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!