Nafuzi tetap risau bertemu PDRM

Sang Kenari perlu memanfaatkan kelebihan Stadium Darul Aman apabila terima kunjungan PDRM FC pada malam Sabtu. - Foto KDA FC
Sang Kenari perlu memanfaatkan kelebihan Stadium Darul Aman apabila terima kunjungan PDRM FC pada malam Sabtu. - Foto KDA FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC perlu memanfaatkan kelebihan di laman sendiri, Stadium Darul Aman apabila menerima kunjungan PDRM FC bagi saingan ketiga Liga Super pada malam Sabtu.

Pengendali Sang Kenari, Nafuzi Zain tetap melihat The Cops sebagai satu ancaman biarpun pasukannya dianggap sebagai pilihan pada perlawanan tersebut.

"Pasukan seperti ini biasanya akan memberikan masalah dan merisaukan saya. Di peringkat Liga Super tidak ada perlawanan yang mudah walaupun bertemu pasukan yang berada di kedudukan bawah liga.

"Itu adalah pengalaman yang saya hadapi dan belajar sebelum ini (tidak memandang rendah keupayaan pasukan lain)," katanya mengulas aksi bertemu pasukan itu yang kini berada di tangga ke-11 selepas dua perlawanan.

Menurut Nafuzi, momentum dua kemenangan yang diperoleh sebelum ini ke atas Perak FC 1-4 dan Terengganu FC 1-0 perlu diteruskan ke atas PDRM FC.

"Kita bermain di laman sendiri kena teruskan momentum," ujar beliau.

Sang Kenari kini berada di kelompok atasan Liga Super dan berada di tangga keempat dengan mengumpul enam mata bersama tiga lagi pasukan iaitu Sabah FC, Selangor FC dan JDT, namun dibezakan dengan perbezaan gol.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!